ADVERTISEMENTspot_img

Pemerhati politik bangkit bela Flovia Ng, tepis tuduhan ‘Pengkhianat Perjuangan’!

Datuk Flovia Ng


KENINGAU: Beberapa pemerhati politik tempatan tampil mempertahankan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Datuk Flovia Ng, daripada serangan dan tuduhan liar kononnya beliau telah “mengkhianati perjuangan” politik asalnya.

Menurut mereka, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah menggambarkan kegagalan pihak tertentu memahami peranan sebenar seorang wakil rakyat yang berjuang demi rakyat, bukan semata-mata kepentingan parti.

“Langkah Datuk Flovia bukan pengkhianatan. Ia keputusan matang demi memastikan kestabilan dan pembangunan rakyat Tulid terus terjamin,” kata salah seorang pemerhati politik kepada media, hari ini.

Flovia, yang pertama kali dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, bukan datang daripada keluarga elit atau berkepentingan politik. Beliau muncul sebagai sosok wanita luar bandar yang sederhana, dekat dengan rakyat, dan berjiwa rakyat sejati.

Meskipun dicalonkan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada saat-saat akhir, kehadirannya mengejutkan ramai pihak apabila berjaya menawan kawasan baharu Tulid, satu kawasan yang sebelum ini sukar ditembusi mana-mana parti tempatan. Kemenangannya dilihat sebagai manifestasi kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan dan integriti beliau.

Selepas kemenangan itu, Flovia terus menghormati semua pihak termasuk pimpinan STAR. Namun, pemerhati menegaskan bahawa tanggungjawab seorang ADUN bukan kepada individu atau parti, tetapi kepada seluruh rakyat di kawasannya.

Menjawab dakwaan kononnya Flovia menyingkirkan bekas rakan politik daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pemerhati menjelaskan bahawa pelantikan UPPM bukan keputusan peribadi ADUN, tetapi tertakluk kepada proses dan kelulusan kerajaan negeri.

“Beliau tidak menolak sesiapa atas dasar politik. Pelantikan baharu dibuat berdasarkan keperluan, keberkesanan dan kebolehan bekerja, bukan kerana sentimen,” ujar pemerhati berkenaan.

Pemerhati turut menepis dakwaan bahawa gelaran “Datuk” yang diterima Flovia mempunyai motif politik. Sebaliknya, pengiktirafan itu diberikan hasil sumbangan besar beliau terhadap pembangunan komuniti luar bandar, wanita, dan ekonomi desa di Tulid.

“Kalau ada yang kata itu ‘ganjaran politik’, mereka jelas tidak mengenali siapa Datuk Flovia. Pengiktirafan itu datang daripada kerja keras dan pencapaian beliau, bukan kerana bermain politik,” tegas seorang lagi pemerhati.

Flovia juga dilihat konsisten memperjuangkan isu asas rakyat, daripada projek infrastruktur seperti jalan raya dan air bersih hinggalah peluang pendidikan dan ekonomi untuk wanita serta belia.

Keputusan Flovia yang juga mantan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut dipertahankan sebagai langkah strategik demi kesinambungan pembangunan. STAR sendiri merupakan komponen dalam GRS, dan tindakan Flovia dilihat sebagai usaha memperkukuh kestabilan politik negeri.

“Beliau tidak berpaling tadah. Beliau memilih untuk berada dalam arus utama pentadbiran supaya rakyat Tulid tidak terpinggir. Itu politik matang, bukan politik dendam,” kata seorang lagi pemerhati.

Mereka turut menegaskan bahawa Flovia kekal fokus terhadap tanggungjawab utama sebagai wakil rakyat, bukan melayan serangan politik yang bersifat peribadi.

“Kesetiaan sebenar bukan pada individu atau parti, tetapi kepada amanah rakyat. Dalam hal ini, Datuk Flovia Ng tetap setia, setia kepada Sabah, dan setia kepada rakyat Tulid,” ujar mereka.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN