James (tengah)
SANDAKAN: Seorang pemimpin perlu bersiap sedia dengan pelbagai ilmu pengetahuan untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, pemimpin merupakan harapan masyarakat dan sentiasa menjadi rujukan pihak tertentu untuk menguruskan sesuatu permasalahan.
“Sebelum kita menjadi pemimpin, kita hendaklah mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Bukan sahaja ilmu berkaitan pembelajaran, malah ilmu menerusi pelbagai kursus berkaitan agar memudahkan pengurusan dengan agensi tertentu”. Katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Program Kolaborasi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Dan Pemimpin Setempat Zon 5 di Dewan Serbaguna Seri Libaran Sungai Kayu dekat sini pada Sabtu.
Katanya, menjadi pemimpin yang baik boleh membantu memacu pembangunan negeri dan rakyat Sabah khasnya kawasan yang masih bergelut dengan pelbagai isu pembangunan.
“Janganlah kita mempersiapkan diri dengan ilmu ingin melobi menjadi calon pilihanraya saja. Kerana sikap itu bakal menjadikan seseorang sentiasa lupa diri dan itu bukanlah contoh pemimpin yang baik”. Tegasnya.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut berkata, beliau sendiri menimba ilmu sekitar 30 tahun sebelum menjadi seorang pemimpin pada masa kini.
Jelasnya, sejak tahun 1993 beliau telah mempelajari pelbagai ilmu daripada pemimpin terdahulu untuk memantapkan pentadbiran selaku pemimpin masa hadapan dan ilmu yang diperolehi masih perlu ditambah dari masa ke semasa.
“Seingat saya, ketika saya menceburi bidang politik, usia saya masih terlalu muda. Namun saya bersyukur kerana pemimpin senior sentiasa terbuka untuk memberikan tunjuk ajar kepada saya dan sehingga hari ini, saya mampu berdiri selaku pemimpin masyarakat yang. dipertanggungjawabkan sebagai Menteri”. Katanya.
Menyentuh mengenai senario politik semasa, beliau menegaskan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang pimpin oleh Ketua Menteri Sabah sentiasa memperkukuhkan kebersamaan dengan parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pengukuhan PGRS dengan parti-parti komponen yang ada dalam GRS adalah penting termasuk menjaga kerjasama dengan parti nasional seperti Pakatan Harapan untuk mempastikan kestabilan politik di Sabah terus terjamin”. Katanya.
Program Kolaborasi itu membabitkan pemimpin-pemimpin masyarakat dari Zon 5 membabitkan Parlimen Sandakan, Libaran, Batu Sapi, Kinabatangan dan Beluran.
Antara pengisian program termasuklah ceramah daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institute For Development Studies Sabah (IDS) dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah.
Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Datuk Awang Kading Tang, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Jusli Ajirol, Ketua Bahagian PGRS Libaran dan Rizan Aziz, Pegawai PPM Pusat.