UNTUK ALBUM …. Para kakitangan UPPM dan Pengerusi JPKK yang baru dilantik mengabadikan gambar kenangan bersama Jahid, Herman dan beberapa pemimpin lain.
TAMPARULI: Para pemimpin di peringkat akar umbi diseru agar sentiasa menjaga perilaku peribadi masing-masing kerana mereka merupakan cerminan kepada pemimpin di peringkat tertinggi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), berkata, baik buruknya prestasi seseorang pemimpin itu adalah bergantung kepada akhlak dan keperibadian pemimpin masyarakat yang dipilih.
“Sebagai pemimpin, kita harus menjaga tingkah laku, tatatertib, dan sentiasa menghormati orang kampung, selain mendekati mereka kerana itu menunjukkan etika serta keprihatinan untuk berkhidmat sebaik mungkin dari hati,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dan JPKK DUN Tamparuli di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah, Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri KPLBS Jilias Lintar dan Ketua Exco Pergerakan Wanita dan Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Joanna Sinteh.
Menurutnya, pentadbiran mereka akan diadili oleh rakyat di bawah, justeru, pemimpin tidak seharusnya memandang parti politik dan agama seseorang apabila berurusan dengan rakyat terutamanya yang melibatkan kebajikan mereka.
“Kita seharus bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk memimpin, maka berilah yang terbaik dalam pentadbiran anda, amalkan kerjasama yang padu dan jitu, saling berkongsi, mengambil berat, dan mempertahankan prinsip dan dasar kerajaan.
Beliau berkata, keyakinan sangat penting, dan menganggap peluang menjadi pemimpin itu adalah baik untuk diri bagi mempermudahkan kehidupan keluarga, untuk kepimpinan dan baik untuk kerajaan.
“Selepas ini akan bermulalah kerja secara rasmi UPPM kepada semua kakitangan yang baru dan saya percaya anda akan bergerak secara satu pasukan,” katanya.
Saya percaya dengan gabungan tenaga semua pihak yang masing-masing mempunyai kelebihan dalam diri mereka, maka rakyat akan menerima pentadbiran yang terbaik kelak.
“Kepada semua Pengerusi JPKK, paling penting adalah cintakasih kepada rakyat, sekiranya ada keperluan di kampung, biarlah anda yang paling dahulu beritahu kepada kami bagi menunjukkan keprihatinan anda,” katanya.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli turut mengingatkan kepada semua agar menjaga kesihatan masing-masing, kerana pada akhirnya kesihatan merupakan asas kebahagiaan.
Tambahnya, seseorang pemimpin harus kreatif untuk melaksanakan dan menyelesaikan sesuatu perkara di samping fokus dan tidak mengambil ringan sesuatu perkara itu dan sentiasa membuat refleksi diri untuk memperbaiki diri masing-masing
Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, berkata, kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah dan kejujuran serta kesetiaan dalam menjalankan tugas amat penting.
“Kita berharap semua yang dilantik akan dapat memikul tugas dan tanggungjawab mereka sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi nanti,” katanya.
Beliau berharap para Pengerusi JPKK akan dapat menggerakkan badan JPKK yang mempunyai 11 Biro kesemuanya manakala kakitangan UPPM dapat saling bekerjasama demi meningkatkan prestasi jabatan dan menjaga nama baik pemimpin di peringkat tertinggi.



