27.7 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pemimpin akar umbi perlu adil, saksama dan jangan pilih kasih: Flovia

Flovia (ketiga dari kanan), Caroline (kedua dari kanan) dan Casmir (kanan) merakamkan gambar kenangan bersama ketua-ketua dan Pengerusi-Pengerusi JKKK.

KENINGAU: Pemimpin akar umbi perlu adil, saksama dan jangan pilih kasih dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dibawah jagaan masing -masing.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng berkata, pemimpin akar umbi terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung jangan bersikap pilih kasih apabila menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Katanya, bantuan-bantuan kerajaan yang disalurkan kepada rakyat yang tersenarai dalam sistem e-Kasih perlu disalurkan secara adil kepada semua penerima.

“Senarai penama dalam sistem e-Kasih perlu disemak semula oleh Pejabat Daerah dan ketepikan sikap pilih kasih agar tiada lagi persepsi negatif terhadap kerajaan yang memerintah” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis penyampaian amanat kepada pemegang-pemegang adat dan JKKK serta penyerahan watikah pelantikan kepada JKKK kawasan DUN N.44 Tulid di dewan belia dan sukan di sini pada Isnin.

Flovia yang juga Ahli Dewan Undangan Negari (ADUN) Tulid berkata, pemimpin akar umbi perlu bijak menilai status penerima agar mereka yang benar-benar layak disenaraikan dalam sistem e-Kasih sebagai bakal penerima.

“Bukannya seorang yang mampu dan ada kaitan dengan pemimpin kawasan, ‘itu tidak wajar’ ” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Flovia menyeru pemimpin akar umbi harus bertanggungjawab membuat sebarang perancangan atau aktiviti bagi membangunkan kampung masing-masing.

Katanya, tahun ini adalah yang mencabar kepada kerajaan pemerintah untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa.

“Oleh itu saya mahu kita memacu lagi langkah strategik dengan mengambil pendekatan kepada semua lapisan masyarakat desa supaya kerajaan yang sedia ada akan terus diberi mandat menerajui kerajaan negeri Sabah dan meneruskan agenda Sabah Maju Jaya” ujarnya.

Beliau berkata, Ketua Kampung dan JKKK seharusnya menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan bukan menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.

“Kamu telah dipilih oleh masyarakat dan dilantik oleh kerajaan sebagai saluran menyampaikan harapan kerajaan pemerintah, diberi elaun untuk menjalankan tugas dan amanah serta menghadiri setiap program yang dianjurkan oleh kerajaan untuk memantapkan input-input penting untuk memperkasakan masyarakat desa” tegasnya lagi.

Pada majlis itu Flovia menyampaikan watikah pelantikan kepada 68 Pengerusi JKKK kawasan DUN N.46 Tulid.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Sook Puan Caroline Benjamin Siungan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawasan DUN Tulid Casmir Silip dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN