Pegawai perikanan tambunan tengah memakai topi bersama ketua2 adat dan penduduk kampung monsok tengah
TAMBUNAN – Pemimpin-pemimpin adat di Mukim Monsorulung memperteguh komitmen mereka dalam menegakkan peraturan dan nilai adat menerusi pelaksanaan upacara Makan Sogit yang berlangsung di Kampung Monsok Tenah, baru-baru ini.
Upacara tersebut diadakan susulan kes pencerobohan terhadap sistem Tagal di kawasan Zon Merah Kampung Monsok Tengah oleh beberapa individu yang telah didapati bersalah kerana melanggar peraturan adat.
Sehubungan itu, pihak pemimpin adat telah menjatuhkan hukuman sogit dalam bentuk bayaran pampasan tunai berjumlah RM2,200 sebagai ganti rugi terhadap pelanggaran yang dilakukan.
Turut hadir dalam upacara berkenaan ialah Pegawai Perikanan Daerah Tambunan, Encik Dennis Anthony, bersama ketua-ketua adat dari kampung-kampung dalam Mukim Monsorulung.
Kehadiran mereka memperlihatkan sokongan terhadap usaha memartabatkan undang-undang adat yang dipersetujui menerusi perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU).
Dalam ucapannya, Dennis menekankan bahawa pelaksanaan upacara Makan Sogit ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu tindakan konkrit dalam memastikan pelanggaran adat tidak dipandang ringan.
“Apa yang berlaku hari ini harus dijadikan pengajaran, bukan sahaja kepada penduduk Mukim Monsorulung, tetapi juga kepada seluruh masyarakat di Sabah tentang pentingnya mematuhi peraturan yang telah disepakati,” katanya.
Sementara itu, Bitus Kurutok yang mewakili para ketua kampung menyatakan bahawa tindakan ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai pendekatan membina untuk menyedarkan pesalah agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“Upacara ini adalah simbol perpaduan dan keutuhan adat yang perlu terus dipelihara demi keharmonian bersama,” ujarnya.
Upacara Makan Sogit ini menjadi bukti bahawa masyarakat masih menghargai dan mengamalkan nilai-nilai adat, sekaligus memainkan peranan penting dalam pemeliharaan sumber alam dan warisan budaya yang berharga di daerah Tambunan. – Oleh: Garry Lewis



