27 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pemegang Adat mesti bantu Wakil Rakyat: Abidin

Abidin (tengah) dan lain-lain semasa Pelancaran Perlaksanaan Buku Panduan Pemegang Adat Balai Adat Mukim Paus dan Paginatan di sini baru-baru ini


RANAU: Semua Pemegang Adat perlu mengingati tugas mereka dalam membantu Wakil Rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukan pula menjadi batu api antara rakyat dan pemimpin.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, para Pemegang Adat berperanan sebagai mata dan telinga Wakil Rakyat dan harus sentiasa memberi laporan yang tepat kepada Wakil Rakyat.


“Tetapi kadang-kadang ada Pemegang Adat bukan sahaja tidak memberikan kerjasama yang baik malah memberi komen yang tidak baik tentang Wakil Rakyat kepada para penduduk. Perkara ini harus dielakkan.


“Sepatutnya semua Pemegang Adat harus membantu Wakil Rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat,” kata Abidin.


Beliau turut menyeru supaya para pemimpin peringkat kampung mengekalkan keharmonian di kalangan penduduk di kampung masing-masing.


“Elakkan pertelingkahan di antara pemimpin kampung kerana ia memecah-belahkan keharmonian kampung,” kata beliau.


Beliau turut menyeru agar semua pihak, termasuk para Pemegang Adat untuk bekerja lebih kuat lagi bermula daripada sekarang supaya kerajaan GRS hari ini dapat diteruskan selepas PRN17 demi kesinambungan program dan agenda kerajaan GRS untuk membantu Rakyat.


Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Perlaksanaan Buku Panduan Pemegang Adat Balai Adat Mukim Paus/Paginatan yang diadakan di sini baru-baru ini.


Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang baru dilantik sebagai Pemegang Adat, dan memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan semua Pemegang Adat akan tamat pada September 2025.


Sementara itu, Abidin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan kerana berjaya melancarkan satu lagi Buku Panduan Pemegang Adat khusus untuk Mukim Paginatan/Paus.


“Ini merupakan kali yang kedua Pelancaran Buku Panduan Pemegang Adat selepas Mukim Tanah Rata yang dilancarkan beberapa bulan yang lalu.


“Saya selalu menegaskan bahawa institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) harus dimartabatkan.


“Itu adalah satu sebab kenapa Buku Panduan Adat ini dibukukan. Tatacara juga perlu ada panduan untuk memantapkan MAN,” katanya.


Beliau menyarankan kepada Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan supaya mengadakan lebih banyak kursus supaya para Pemegang Adat dapat dibekalkan dengan ilmu pengetahuan mengenai adat resam.


Dalam majlis itu, Abidin turut menjelaskan tentang perkembangan terkini cadangan Pekan Kecil Paginatan berkeluasan 200 ekar yang akan ditempatkan di Kawasan Padang Ragut Kg Paginatan seluas 380 ekar.


“Kg Lungkidau yang juga berada dalam kawasan Cadangan Pekan Kecil seluas 22 ekar telah dimasukkan dalam kawasan Pekan Kecil sebagai ‘kampung dalam bandar’ dan akan ditadbir sebagai JKKDB pada masa akan datang,” katanya.


Berkenaan Ulasan Geran Tanah Penyukatan Pantas Kg Sagindai, katanya geran berkenaan sudah berada di Pejabat Tanah dan Ukur Daerah dan ianya sudah sedia untuk diagih-agihkan kepada para pemilik.


Beliau mencadangkan supaya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor sendiri yang akan menyempurnakan penyerahan geran-geran tersebut, dan upacara penyerahan tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.


Turut hadir ADO Marcelus Joanes, KD OKK Muhasip Hj Rauman, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Benedick Gunda, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Pengerusi Persatuan Balai Adat KAN Dualis Porodtong, Pengerusi Penganjur KK Tadius Tapin, WKAN, Ketua-ketua Kampung dan para pemimpin tempatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN