JENDDY ( tengah) mewakili Datuk James Ratib, menyempurnakan pembukaan Makmal Histopatologi di JMC, pada Sabtu.
KOTA KINABALU: Pembukaan Makmal Histopatologi Innoquest Pathology di Jesselton Medical Centre membolehkan keputusan ujian makmal diperolehi dalam masa lebih singkat berbanding sebelum ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, daripada menunggu tujuh hari, makmal ini kini boleh memberikan laporan histopatologi dalam masa satu hingga dua hari sahaja.
“Sesungguhnya ini bukan sahaja satu pencapaian penting, tetapi juga satu lonjakan besar dalam meningkatkan penjagaan kesihatan di Sabah, terutamanya bagi ramai individu yang akan mendapat manfaat dari perkembangan ini,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Sugut berkata, sebelum ini, pesakit dan keluarga mereka terpaksa menunggu sehingga seminggu untuk mendapatkan keputusan histopatologi mereka.
Walaupun kelewatan ini biasa di banyak fasiliti perubatan, katanya, ia boleh dirasakan sangat lama oleh pesakit kerana tempoh seminggu mungkin tidak lama, tetapi bagi seseorang yang sedang menunggu diagnosis setiap hari adalah sangat penting.
“Dan ketidakpastian ini mungkin akan menambahkan tekanan emosi kepada pesakit,” katanya ketika diwakili Setiausaha Politiknya, Jenddy Sanggau sempena pembukaan Makmal Histopatologi Innoquest Pathology di Jesselton Medical Centre dekat sini pada hari Sabtu.
Tambah beliau, kelebihan paling penting yang ditawarkan oleh makmal ini ialah pengurangan masa menunggu keputusan secara ketara.
“Dengan pembukaan makmal canggih ini, sudah pastinya ia mengurangkan tempoh masa untuk menunggu diagnosis sekaligus mengurangkan stress.
“Mempercepatkan proses diagnostik boleh menyelamatkan nyawa, dan makmal ini menjadikannya satu kenyataan.
“Dengan tempoh menunggu yang jauh lebih pantas, pesakit dan keluarga tidak perlu lagi melalui ketidakpastian yang berpanjangan,” katanya.
Dalam banyak kes, James berkata, diagnosis awal dan rawatan yang pantas boleh membawa kepada hasil yang lebih baik, terutamanya dalam penyakit seperti kanser, di mana masa adalah sangat penting.
Menurut beliau, histopatologi memainkan peranan yang sangat penting dalam mendiagnosis pelbagai keadaan perubatan, terutamanya kanser.
Katanya, laporan patologi yang tepat dan pantas membolehkan doktor membuat keputusan rawatan yang lebih bijak, yang boleh mempengaruhi hasil rawatan pesakit secara signifikan.
“Hari ini, kita sedang melangkah jauh ke hadapan dalam memastikan pesakit kita menerima tahap penjagaan yang lebih tinggi, lebih pantas, lebih berkesan dan lebih efisien.
“Makmal ini akan memperbaiki aliran kerja klinikal. Keputusan patologi yang lebih cepat bermakna doktor boleh merancang dan melaksanakan rawatan tanpa kelewatan yang tidak perlu.
“Sama ada pembedahan, kemoterapi, atau intervensi perubatan lain, pasukan klinikal kita akan mempunyai maklumat yang mereka perlukan dengan segera,” katanya.
Menurut James, ini bukan sahaja meningkatkan penjagaan pesakit, tetapi juga mengoptimumkan bagaimana kita mengurus sumber dan katil hospital, membolehkan kita merawat lebih ramai pesakit dengan lebih efisien.
Tambah beliau, dengan adanya kemudahan serta perkhidmatan patologi canggih seperti ini di Sabah, bermakna pesakit tidak lagi perlu bergantung kepada makmal HQ yang mungkin memerlukan penghantaran sampel ke Semananjung Malaysia, yang menyumbang kepada kelewatan.
“Dengan kemampuan untuk memproses sampel secara tempatan, kita meningkatkan tahap penjagaan yang boleh kita tawarkan di Jesselton Medical Centre. Kita kini lebih berdikari dan lebih bersedia untuk memenuhi keperluan kesihatan komuniti kita,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan yang luar biasa di sebalik makmal ini.
“Pakar histopatologi, juruteknik makmal, dan semua kakitangan sokongan kita telah bekerja keras untuk merealisasikan visi ini. Komitmen mereka untuk mengekalkan standard tertinggi dalam ketepatan, keselamatan, dan kecekapan akan menjadi tunjang kejayaan makmal ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan hospital dan rakan kongsi yang melabur dalam inisiatif ini, memahami betapa pentingnya meningkatkan penjagaan pesakit.
“Pembukaan makmal histopatologi Innoquest Pathology yang baharu pada hari ini bukan sekadar tentang memperkenalkan satu kemudahan baharu, tetapi Ia melambangkan satu komitmen, satu janji bahawa Innoquest Pathology akan terus mendahului dalam menyediakan penjagaan perubatan yang termaju.
“Ia menunjukkan dedikasi kita untuk menggunakan teknologi, kepakaran, dan belas kasihan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit kita,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dengan terealisasinya makmal histopatologi tersebut, Sabah telah membuka pintu kepada masa depan di mana proses diagnostik adalah pantas, selari dengan keperluan segera pesakit di sini.