OLEH: DR.JURRY FOO
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Pensyarah kanan, Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. (Rakan strategik Kolumnis BDB)
PEMBUDAYAAN BUSANA ETNIK DI MAJLIS KONVOKESYEN adalah satu Langkah memulihara budaya melalui penghayatan dan peghargaan budaya itu sendiri. Terpanggil menulis rencana ini apabila ditanyakan tujuan saya memakai enam persalinan busana etnik tradisional dan kontemporari dalam majlis konvokesyen Universiti Malaysia Sabah 2022 yang berlangsung sebanyak dua belas sidang dalam enam hari daripada 26 hingga 31 March 2022.
Sebagai pengarah dan ahli senat yang mewakili Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (PKPP UMS) menonjolkan dan menerapkan budaya yang menekankan nilai murni terutama penghayatan perpaduan keluarga Malaysia, hormat menghormati dan saling menghargai adalah tanggungjawab yang saya yakin patut diketengahkan. Satu daripada kaedahnya ialah memakai busana etnik sama ada tradisional atau kontemporari dalam acara rasmi dan tidak rasmi yang bersesuaian, termasuk majlis konvokesyen.
Nilai murni adalah asas kepada pembentukan jatidiri seseorang individu dan menjadi asas kepada pemerkasaan kemahiran insaniah yang sememangnya menjadi peranan PKPPUMS untuk menerapkan ciri tersebut dalam melahirkan mahasiswa holistik.

Secara positifnya, memakai busana etnik bukanlah satu tindakan rasisme malah ia adalah kaedah untuk memulihara budaya. Dari sudut Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) ia menjadi satu kaedah pembelajaran tidak formal yang boleh memberi motivasi untuk mengetahui lebih mendalam mengenai busana etnik yang dikenakan termasuk latar belakang busana tersebut, etnik yang memakainya, asal usul etnik dan sebagainya yang seterusnya. Maklumlah ‘tak kenal maka tak cinta’.
Pembudayaan busana tradisi juga memberikan inspirasi untuk mencari tahu budaya dan asal usul. Buktinya, reaksi yang saya perolehi daripada pelbagai pihak ialah rancangan menempah dan memakai pakaian tradisi mereka pada masa akan datang, ada yang bertanya di mana boleh dibeli busana etnik, nama-nama aksesori seperti ‘betungkat’ dan juga butang emas berkepala ratu (queen), malah ada yang mencadangkan untuk mengadakan bengkel membuat busana etnik tradisional dan kontemporari.
Budayakanlah pemakaian baju etnik sama ada tradisional mahupun kontemporari kerana ”jika tiada yang lama pasti tiada yang baru, kalau ada yang baru semestinya ada yang lama’. Inovasi busana tradisi kepada busana kontemporari tidak boleh dianggap sebagai pembunuh atau penghakis budaya. Tetapi perubahan dan penambahbaikan mengikut keadaan, kesesuaian dan situasi adalah nilai dinamik yang perlu diterapkan dalam diri setiap insan dalam dunia yang sangat mencabar dan kompetatif ini.



