28.2 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pembinaan jambatan gantung di Kg Lungkidau kini 90 peratus siap: Abidin

Abidin (kedua kiri) menunjukkan jambatan gantung yang hampir siap itu sambil diperhatikan oleh yang lain-lain


RANAU: Pembinaan jambatan gantung di Kg Lungkidau Ranau kini 90 peratus siap dan akan siap digunakan dalam masa dua minggu lagi kata Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir.


“Kita berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor atas keprihatinan beliau terhadap nasib penduduk di sini dan memberi lampu hijau untuk peruntukan pembinaan jambatan gantung baharu.


“Sebenarnya, sejurus selepas jambatan gantung terdahulu rosak, saya telah membawa perkara itu kepada pihak atasan supaya tindakan pantas dapat diambil bagi menyelesaikan perkara itu,” katanya.


Abidin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika meninjau tapak pembinaan jambatan gantung itu Ahad lepas.


“Dengan siapnya jambatan gantung ini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah Kg Lungkidau dan kampung sekitar sementara menunggu pembinaan jambatan konkrit.


“Pembinaan jambatan konkrit itu kini memasuki fasa pemberian kontrak kepada syarikat yang telah dikenal pasti,” katanya.


Tambah Abdin, baru-baru ini pihaknya telah menganjurkan majlis penyerahan sumbangan khas kepada penduduk Kg Lungkidau yang disalurkan bagi tujuan meringankan beban anak-anak yang berulang alik ke sekolah setiap hari.


Sumbangan khas itu diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Lungkidau Minjun Sapanggal di pejabat Abidin di Kiaburi baru-baru ini.


Dalam majlis itu, Minjun merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Abidin kerana terus mengambil berat terhadap nasib penduduk Kampung Lungkidau akibat kerosakan dua jambatan yang menghubungkan kampung dengan jalan utama ke Pekan Ranau.


Sementara itu, penduduk Kg Lungkidau diminta terus bersabar semasa pembinaan jambatan gantung dan jambatan konkrit baharu siap bagi menggantikan jambatan lama yang musnah akibat bencana alam.


Abidin berkata, beliau telah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak terbabit telah memberikan maklum balas mengenai perkara itu.


Ratusan penduduk dari tujuh kampung iaitu Kampung Paginatan, Lungkidau, Toporo, Bunakon, Torikon, Soborong dan sebahagian Kampung Kigiwit menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi Sungai Liwagu.


Jambatan gantung menjadi laluan utama penduduk ke Pekan Ranau, Klinik Kesihatan Paginatan dan untuk pelajar ke sekolah, serta laluan mengangkut hasil pertanian selepas jambatan konkrit runtuh beberapa tahun lalu.


Dalam pada itu, penduduk di Kg Lungkidau terus berdepan cabaran menyeberangi Sungai Liwagu apabila parasnya meningkat ketika hujan lebat.


“Kami tidak mahu mengulas apa-apa kerana peruntukan (pembinaan jambatan baharu) sudah ada, cuma ia dilaksanakan agak lewat.


“Oleh itu, penduduk kampung merayu-rayu agar pembinaan kedua-dua jambatan itu dipercepatkan kerana terdapat banyak halangan untuk kami menyeberangi sungai, terutamanya apabila berlaku banjir,” kata salah seorang penduduk kampung.


Menurut penduduk di sini, pada kebanyakan masa, ramai murid sekolah terpaksa pulang kerana keadaan tidak membenarkan mereka menyeberangi sungai untuk ke sekolah.


Menurut mereka, nasib baik banjir kali ini tidak terlalu besar, kerana jika banjir lebih besar, penduduk kampung tidak ada jalan lain untuk menyeberangi sungai berikutan keadaan sungai yang deras menyukarkan bot menyeberangi sungai.


Penduduk juga merayu agar pembinaan jambatan baharu itu dipercepatkan, memandangkan perkara itu adalah isu yang serius dan mendesak kerana ia melibatkan keselamatan nyawa penduduk di sini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN