27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pembinaan Fasa Ketiga IPDAS Keningau Dijangka Siap Mac 2026

Perisytiharan pembukaan majlis konvokesyen oleh Hajiji.

KENINGAU:   Pembinaan fasa ketiga Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau dijangka siap menjelang Mac 2026.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembinaan yang sedang berjalan itu mendapat peruntukan RM60 juta daripada kerajaan persekutuan sekali gus menambah kapasiti kepada 700 orang pelajar.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembinaan fasa ketiga  bagi menampung pertambahan pelajar seramai 300 orang.


“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan para pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi, bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra yang lebih kondusif kepada para mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi tahap kualiti pendidikan di Sabah.


“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaik taraf kemudahan pendidikan di Sabah, khususnya IPDAS,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-18 Tahun 2024 di sini, hari ini.


Beliau optimis, IPDAS sebagai sebuah institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah JAKIM berupaya menggalas tanggungjawab melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi, membentuk modal insan yang berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat.


Ujarnya, istiadat konvokesyen yang melibatkan 312 graduan itu merupakan simbol kejayaan IPDAS dalam menghasilkan warga yang berilmu dan bertaqwa, setanding dengan pencapaian institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

Ketika berucap, Hajiji juga mengingatkan para graduan yang berhasrat menerokai alam pekerjaan agar jangan terlalu memilih kerja dan menginginkan gaji yang besar semata-mata kerana zaman kini tidak sama seperti zaman dahulu dimana jawatan kosong sentiasa tersedia untuk diisi.


Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin dan Mufti, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.


Pada majlis tersebut, Hajiji turut  menyampaikan Anugerah Pingat Emas Tyan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada  pejajar Diploma Dakwah Islamiah, Mohd Ibnu Al-Khair Awang Besar; Anugerah Ketua Menteri kepada Mohd Rahwieuddin Jafisie dan Nursyafinaz Mohd Isa; Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Khuzaimie Sedipatirek, dan Suzyanna Norsin; Anugerah Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ahmad Firdaus Ibrahim dan Norahfatihah Hairuddin; Anugerah Yang Dipertua MUIS, Mohammad Qousim Merullah @ Amirullah dan Jagaswari Abdurahman serta Anugerah Alumni IPDAS, Natifah Zubair. –Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN