Hajiji (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran buku tersebut.
KOTA KINABALU: Pembinaan dua buah Kompleks Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah perlu dipercepatkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pembinaan kompleks Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak itu sebagai langkah meningkatkan lagi tahap keselamatan di negeri ini.
“Sabah merupakan sebuah negeri yang luas dan dikelilingi oleh tiga laut, Laut China Selatan di sebelah Barat Sabah, Laut Sulu di Utara Timur Laut Celebes di sebelah Timur, sementara Selatan Sabah berkongsi sempadan dengan Indonesia.
“Oleh itu, penambahan dua buah kompleks PGA ini satu keperluan bukan sahaja untuk menghentikan ancaman subversif tetapi juga untuk menghalang aktiviti penyeludupan minyak, kayu balak, dadah dan sebagainya,” uajr beliau.
Pertambahan dua buah kompleks terbabit akan menjadikan lima kompleks batalion PGA keseluruhannya di Sabah iaitu di Kinarut, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Beluran.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi Op Daulat Tanduo – “Briged Sabah, Pasukan gerakan Am: Membanteras Pengganas dan 5th Column di Kg Tanduo, di Menara Kinabalu hari ini.
Buku diterbitkan oleh Jabatan Arkib Negeri Sabah dengan usahasama PGA Sabah itu mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam pendokumentasian peristiwa di Kampung Tanduo pada Februari 2013 sambil menyifatkan peristiwa berkenaan merupakan salah satu contoh keberanian dan komitmen pasukan keselamatan di negara kita.
“Saya berharap buku ini akan memberi manfaat kepada masyarakat yang mahu mengetahui lebih mengenai pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo dan pengorbanan pasukan keselamatan kita.
“Sebagai rakyat Malaysia kita harus menguatkan lagi semangat patriotisme dalam memastikan kedaulatan negara kita terus terjaga dan dipelihara,” jelas beliau.
Hajiji turut berharap dengan penerbitan buku tersebut generasi muda faham akan peristiwa tersebut terutamanya pengorbanan pasukan keselamatan negara.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah, Shirley Sion.-PENERANGAN SABAH