PELURU… sebahagian peluru lama yang ditemui di atas lantai tandas lelaki di Anjung Ikan Bakar, Kampung Lubok Temiang, pada Isnin.
LABUAN: Seorang wanita yang bekerja sebagai pembersih tandas telah menemui 24 butir peluru lama di dalam sebuah tandas awan di Anjung Ikan Bakar Kampung Lubok Temiang, dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, penemuan peluru lama itu susulan laporan yang dibuat oleh seorang wanita pekerja tandas ternampak beberapa objek peluru di atas lantai ruang tandas bahagian lelaki Anjung Ikan Bakar kira-kira jam 7 pagi.
“Wanita berkenaan menemui peluru berkenaan ketika hendak membersihkan tandas bahagian lelaki kira-kira jam 7 pagi dan seterusnya membuat laporan polis kira-kira jam 9. 30 pagi” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Farid berkata, pihaknya segera menjalankan siasatan ditempat kejadian dan telah menemui sebanyak 22 butir peluru berukuran 7.62 mm dan dua butir lagi berukuran 20mm.
Beliau percaya peluru yang masih disaluti tanah dan berkarat itu telah dijumpai oleh individu ditempat lain sebelum meninggalkannya di tandas berkenaan.
Beliau tidak menafikan peluru berkenaan merupakan peluru lama peninggalan zaman perang dunia ke-2.
Sementara itu, beliau menasihatkan individu yang menjumpai objek yang mencurigakan hendaklan segera memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Iaa bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingin berlaku yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta bend” katanya.
TAMAT