Rahmahjan menyampaikan sijil kepada salah seorang yang menyertai bengkel itu.
TENOM: Proses pembelajaran di Tadika/Taska merupakan langkah pertama bagi menyediakan ilmu dan pendidikan kepada anak-anak.
Selepas menamatkan pendidikan prasekolah di tadika, anak-anak kemudian melangkah ke sekolah rendah di mana pendidikan formal akan bermula secara berperingkat-peringkat.
Timbalan Pengerusi Penjanaan Ekonomi HAWA Malaysia, Datuk Rahmajan Sulaiman Khan berkata, dalam Tadika/Taska, pendidikan yang diajar sebenarnya lebih kepada perkembangan sosial, emosi, intelek dan fizikal di samping menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak sebelum menempuhi pendidikan formal di sekolah rendah.
Katanya, maka, di sinilah pentingnya peranan dan kemahiran ibubapa sekalian, menangani cabaran karenah dan ragam kanak-kanak kecil, umpama rebung yang perlu dilentur dengan sebaik-baiknya.
Rahmahjan yang juga Ketua Wanita Umno Tenom berkata demikian semasa berucap merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika dan Taska peringkat Parlimen Tenom di Dewan SJKC Tsi sin di sini baru-baru ini.
“Adalah menjadi harapan kita semua agar setiap peserta bengkel ini dapat menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran, supaya nantinya dapat dimanfaatkan dalam pembentukan sahsiah dan jatidiri anak-anak Tabika/Taska sekalian” katanya.
Beliau berkata, di pihak kerajaan, pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan termasuk dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memberi peluang kepada anak-anak kita melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memastikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua golongan.
“Sesungguhnya, pelajaran atau pendidikan merupakan pemangkin kepada seseorang untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kemunduran. Jadi, dalam persaingan dunia tanpa sempadan hari ini, kita tidak boleh lari atau memencilkan diri daripada mengejar ilmu dan pendidikan sebanyak mungkin. Dengan ilmu dan pendidikan katanya, kita boleh bersaing dengan tamadun bangsa lain di pentas dunia” jelasnya.
Tambahnya, dengan ilmu dan pendidikan juga , kita boleh menjadi bangsa yang cemerlang dan terbilang di masa hadapan nanti.
Pada masa sama Rahmahjan menyeru para ibu bapa khususnya di kawasan Tenom ini supaya mengutamakan soal pendidikan anak-anak sebagai jaminan masa hadapan.
Katanya, Ibu bapa hendaklah membimbing dan merintis masa depan anak-anak, bersesuaian dengan keperluan industri kita pada masa depan.
Ibu bapa juga katanya, perlu membimbing anak-anak memilih bidang-bidang pendidikan yang relevan kepada pasaran kerja, mengenal pasti kursus atau jurusan yang bersesuaian, supaya nantinya mudah mendapat peluang kerjaya pada masa depan.
“Memandangkan negara kita sedang menuju negara perindustrian, maka tumpuan haruslah diberikan kepada disiplin-disiplin ilmu yang berteraskan Sains dan Teknologi seperti bioteknologi, geologi, biologi marin dan angkasa lepas” jelasnya lagi.
Menurut Rahmahjan, pendidikan merupakan proses mentransformasikan insan supaya menjadi individu yang produktif dan penyumbang dalam mengukir kejayaan.
Justeru, beliau menyeru anak-anak generasi muda sekalian supaya lebih responsif terhadap tuntutan semasa, khususnya untuk mengharungi cabaran hidup yang pelbagai dalam era ICT dan globalisasi ini.
Beliau berharap para pelajar dan generasi muda masa kini menjadi lebih peka, celik fikiran, mampu memandang jauh ke hadapan serta dapat menjana ‘minda kelas pertama’ dengan penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang untuk menjadi insan yang cekal dan berdaya saing.
Berucap sama di majlis itu Pegawai Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Negeri Sabah Rhoodie George dan Pegawai Pejabat KEMAS Daerah Tenom Puan Riyanti Binti Mekail @ Ibrahim.