Wong (kiri) memberi taklimat ringkas pembangunan Bukit Sri Hartamas @Tenom kepada Jamawi (kedua dari kiri). Turut kelihatan Mas Syazwan (ketiga dari kiri).
TENOM: Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) Datuk Haji Jamawi Jaafar menyifatkan pembangunan Bukit Sri Hartamas @Tenom satu lagi mercu tanda bagi Daerah Tenom.
Katanya, pembangunan baharu yang mempunyai kombinasi pembangunan komersial dan juga rumah kediaman ini sudah pasti akan memenuhi keperluan di daerah ini.
Menurut Jamawi, Daerah Tenom masih memerlukan pembangunan seiring dengan persekitarannya yang mempunyai tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.
“Kita tahu sekarang Tenom semakin lama semakin berkembang, kegiatan ekonomi, pertanian dan pelancongan semakin lama semakin naik dan kita punya hotel kediaman pun saya difahamkan hujung minggu penuh” katanya ketika ditemui selepas melancarkan galleri penjualan Bukit Sri Hartamas @Tenom di sini pada Ahad.
Katanya, dengan adanya pembangunan ini sedikit sebanyak akan dapat menyelesaikan isu-isu berkenaan dengan kediaman dan juga tempat penginapan.
Pada masa sama Jamawi yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memuji usaha Menara Bestari Sdn Bhd dan pemilik tanah dalam menjayakan pembangunan kawasan ini.
Beliau juga berharap supaya pembangunan ini akan dapat berjalan mengikut jadual.
Sementara itu Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Masood berkata, pembangunan yang baharu ini membuka peluang pekerjaan dan merancakkan lagi pembangunan daerah ini.
“Selama ini kita memang diperingkat daerah sudah merancang untuk membangunkan daerah ini, contohnya dari segi perbankan, saya difahamkan ada beberapa sudah yang bersedia, ada prospek untuk ingin membuat perbankan baru di sini”
“Dari segi penginapan juga dari segi bidang perhotelan kita memang ada sedikit kekurangan”
“Jadi dengan adanya projek baru ini ia memberi peluang yang lebih besar kepada semua sektor di daerah ini” katanya.
Mas Syazwan berkata, sememangnya sasaran pentadbiran daerah Tenom ini untuk menaik taraf pekan Tenom sejajar dengan pelan pembangunan daerah ini.
Beliau yakin pembangunan Bukit Sri Hartamas @Tenom ini sedikit sebanyak membantu perkembangan pekan Tenom.
Pada masa sama beliau berharap proses pembangunan pekan-pekan baharu di daerah ini termasuk pekan Melalap dipercepatkan.
“Jika pekan-pekan baharu dapat dipercepatkan pembangunannya ia akan merancakkan lagi rantaian ekonomi di daerah ini ” jelasnya.
Pengarah Urusan NBLand Group Wong Gee Ngen yang turut ditemui berkata, projek Bukit Sri Hartamas @Tenom yang berkonsepkan pembangunan kombinasi komersial dan rumah kediaman bertujuan memodenkan daerah dan merangsang sosioekonominya.
Katanya, nilai Pembangunan Kasar (GDV) Bukit Sri Hartamas sebanyak RM155 juta dan akan siap pada 2026.
“Projek itu terdiri daripada pembangunan komersial dan kediaman seluas 19.575 ekar yang terletak dengan jalan utama kawasan pekan” katanya.
Wong berkata, projek yang akan menjadi mercu tanda pemodenan di Tenom yang akan mengubah landskap pembangunan daerah ini selain mewujudkan peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk setempat.
Katanya, projek ini terdiri daripada 95 unit rumah teres dua tingkat dan 32 unit rumah berkembar dua tingkat manakala pembangunan komersial mempunyai 72 unit eksklusif pejabat kedai tiga tingkat dengan keluasan binaan lebih atau kurang daripada 3,540 persegi. kaki seunit.
“Rumah teres dua tingkat itu mempunyai jumlah binaan 1,912 kaki persegi dan 1,872 kaki persegi. Setiap rumah mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air manakala jumlah binaan untuk rumah berkembar ialah 2,170 kaki persegi. Setiap rumah mempunyai empat bilik tidur dan empat bilik air,” jelasnya.
Bagi kemudahan, Wong berkata projek itu menyediakan lebih 200 tempat letak kereta, kawasan lapang dan taman permainan.
Terdapat pelbagai kemudahan popular berdekatan seperti tiga sekolah menengah, Kompleks Sukan Tenom, Alliance Bank, Pejabat Pos, stesen minyak Petronas, pasar raya, hospital Tenom dan Klinik Ibu dan Anak.
Wong berkata 85 peratus daripada unit kediaman, dengan harga RM376,000 telah ditempah manakala lebih 50 peratus daripada pejabat kedai telah ditempah dengan harga jualan RM1.2 juta.