James Ratib
SUGUT: Pembangunan berterusan dikawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sugut akan terus dipastikan berjalan lancar seiring dengan objektif ‘Sabah Maju Jaya’ yang digariskan Kerajaan GRS-BN di negeri ini.
Menegaskan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk James Ratib berkata, walaupun beberapa kawasan perkampungan khasnya yang terletak jauh di pedalaman agak sukar mencapai akses infrastruktur, namun beliau akan mempastikan perkara itu diselesaikan segera untuk keselesaan rakyatnya.
“Saya menyedari beberapa kawasan perkampungan jauh sebagai contoh di kawasan Pulau Jambongan akses pembangunan infrastruktur agak sukar disebabkan perjalanan menghantar barang-barang keperluan agak rumit. Namun ia bukan halangan bagi saya selaku wakil rakyat Dun Sugut untuk mempastikan kesemua permasalahan itu diselesaikan segera.
“Sebelum ini, saya juga telah membina beberapa perumahan rakyat dibawah skim Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dikawasan itu dan ianya ternyata memberikan kemudahan hidup yang selesa kepada para penerima”. Jelasnya.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah menjelaskan, selain mengutamakan pembangunan infrastruktur, beliau juga akan mempastikan rakyatnya mudah untuk berurusan dengan agensi-agensia kerajaan dengan adanya usaha untuk menjadikan Daerah Kecil Paitan menjadi sebuah Daerah Penuh.
Katanya, beliau telahpun menulis surat kepada Ketua Menteri Sabah untuk tujuan berkenaan dan setakat ini perkara itu akan dibawa ke perbincangan diperingkat kabinet negeri Sabah untuk diteliti sebelum diluluskan.
“Saya difahamkan, perkara itu akan dibawa ke perbincangan peringkat Kabinet Negeri Sabah dalam masa terdekat. Insyallah ia akan membuahkan hasil menggembirakan buat seluruh rakyat di Dun Sugut khasnya di Daerah Kecil Paitan”. Tegasnya.
James berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah pada Khamis.