Pasukan bomba mengorek timbunan tanah bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam kemalangan di Kampung Nabutan, Ranau. – Foto Bomba
RANAU: Seorang pemandu lori lelaki berumur 30 tahun meninggal dunia setelah lori trailer membawa muatan tiang elektrik yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter dekat sini pada hari Khamis.
Ketua Balai BBP Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 30 Jalan Ranau- Telupid berhampiran Kg. Nabutan Ranau pada sekitar jam 8.30 pagi.
“Panggilan diterima melalui Talian Balai lalu sekumpulan anggota seramai lapan orang diketuai saya sendiri sebagai Komander Operasi, dan turut hadir Pegawai Kanan dari ibupejabat PgKB I Mohammad Taquidin Victor Bin Don, PgKB II Thomson T. Taming, PKPgB Mohd. Faizal Bin Wahid dan PBT Mohd Kadzri Bin Mohd Raus bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 30 kilometer dari balai itu, kita mendapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah lori trailer membawa muatan tiang elektrik (konkrit) terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter.
“Terdapat seorang mangsa, iaitu pemandu, tertimbus di bawah lori. Pasukan Bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan kaedah mengorek tanah menggunakan peralatan khas namun gagal,” katanya.
Menurut Ridwan, pasukan Bomba yang turut disertai anggota PDRM seramai enam orang terus berada di lokasi kejadian sementara menunggu bantuan kenderaan berat berupa sebuah kren dari Kota Kinabalu.
“Kren tiba di lokasi kejadian pada jam 6 petang dan kerja-kerja mengangkat lori tersebut dijalankan tetapi tidak berjaya setelah tiga kali percubaan.
“Pada jam 7.50 malam teknik diubah dengan mengalihkan tiang-tiang simen tersebut sebanyak lebih kurang 70 batang, dan mangsa berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba pada jam 2.50 pagi dengan kaedah mengorek timbunan tanah menggunakan peralatan khas,” katanya.
Ridwan memberitahu bahawa mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak PDRM dilokasi kejadian, seterusnya mangsa diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 3.12 pagi pada hari Jumaat,” katanya.



