24 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 9, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pemandu maut selepas treler terbabas di Jalan Ranau-Kundasang. 

OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Seorang pemandu maut selepas treler yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di kilometer 3, Jalan Ranau – Tampaluri pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, memberitahu media, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 5.29 petang itu, lelaki tempatan berumur 44 tahun.

TERBABAS… Treler dengan muatan tiang konkrit

“Siasatan awal mendapati, treler dipandu mangsa dengan muatan tiang cerucuk konkrit dari arah Kota Kinabalu menuju Ranau, dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar tebing bukit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dikeluarkan anggota bomba

Menurut DSP Sammy, mangsa telah dikeluarkan oleh pihak Bomba sebelum dihantar ke hospital Ranau untuk bedah siasat.

Beliau turut meminta saksi awam yang melihat kejadian tampil ke Balai Polis Ranau atau menghubungi Balai Trafik IPD Ranau di talian (088-875222) untuk membantu siasatan.

DSP Sammy Newton

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan seramai lapan anggota digerakan ke lokasi kejadian dari jarak 4 kilometer bersama sebuah jentera FRT, kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo.

KB Ridwan Mohd Taib

“Setiba di lokasi, pihak bomba mendapati terdapat kemalangan melibatkan sebuah treler 12 tan yang terbabas dengan sendiri ke bahu jalan dan seorang mangsa dipercayai pemandu treler terbabit disahkah meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Ranau.

“Bomba bertindak mengangkat mayat mangsa dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”  katanya kepada media. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN