25 C
Kota Kinabalu
Khamis, November 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Peletakan jawatan Ewon mencetuskan perdebatan semula mengenai bubungan Sabah dan Putrajaya


KOTA KINABALU: Kritikan lantang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, terhadap keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, terus mencetuskan perdebatan politik apabila ia disifatkan mencerminkan hubungan tidak seimbang antara kepimpinan Semenanjung dengan wilayah Borneo sejak penubuhan Malaysia.

Dalam kenyataan tegas yang tular hari ini, pihak yang rapat dengan Ewon menyifatkan kenyataan Loke sebagai “bukan sekadar tidak menghormati”, malah sebagai gambaran jelas mentaliti kolonial yang menurut mereka telah membayangi hubungan antara Sabah, Sarawak dan Malaya sejak 1963.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Malaysia “tidak pernah terbentuk melalui kesaksamaan”, sebaliknya melalui keadaan darurat dan tekanan pentadbiran ke atas Borneo Utara dan Sarawak yang ketika itu masih di bawah pentadbiran British. Malah, tokoh kemerdekaan Tunku Abdul Rahman sendiri pernah menyatakan bahawa jika Malaya boleh mencapai kemerdekaan ketika darurat, tidak ada sebab ia tidak boleh mengambil alih Sabah dan Sarawak dengan cara yang sama.

Pandangan tersebut digambarkan sebagai punca utama wujudnya struktur hubungan yang dianggap mengekalkan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang “dipaksa patuh” dalam sistem persekutuan.

Menurut kenyataan itu lagi, respons Loke terhadap tindakan Ewon, yang meletakkan jawatan menteri dan menarik UPKO daripada Kerajaan Perpaduan, telah menyerlahkan nada “seolah-olah seorang tuan menegur orang bawahan”, sesuatu yang dikatakan telah lama dirasai rakyat Borneo dalam urusan persekutuan.

Kenyataan berkenaan turut menyentuh kekecewaan mendalam Ewon berhubung apa yang digambarkan sebagai tindakan berterusan kepimpinan Malaya, termasuk dari kalangan parti Pakatan Harapan, yang didakwa menangguhkan atau melemahkan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah. Dinyatakan bahawa Ewon enggan menjadi sebahagian daripada “sandiwara politik” yang menafikan hak negeri itu, dan memilih untuk berundur demi mempertahankan prinsip.

Dalam kenyataan yang berbaur kritikan keras itu, dakwaan bahawa Sabah tidak boleh menuntut hak 40 peratus kerana ia tidak “diaktifkan” oleh Perdana Menteri terdahulu turut dilabel sebagai tidak masuk akal. Sebaliknya, ia menekankan bahawa Sabah telah menuntut hak tersebut selama beberapa dekad tetapi berhadapan struktur kuasa di mana Semenanjung memegang kawalan penuh terhadap peruntukan kewangan.

Menurut kenyataan itu, keadaan tersebut tidak mencerminkan federalisme tulen, sebaliknya lebih menyerupai hubungan kolonial yang menyaksikan hak negeri dikompromi, sumber dieksploitasi dan keputusan utama dibuat di Putrajaya.

Kenyataan itu juga menyifatkan tindakan Ewon meninggalkan kerajaan sebagai detik penting yang menandakan perubahan landskap politik Borneo, dan isyarat bahawa Sabah dan Sarawak tidak lagi bersedia menjadi wilayah yang menurut tanpa bersuara.

Menurut kenyataan itu, respons Loke bukan sahaja dianggap biadab, tetapi turut menggambarkan “keangkuhan struktur” dalam kalangan elit politik Semenanjung yang selama ini didakwa menjangka Sabah dan Sarawak kekal tunduk.

Kenyataan itU dengan mesej sinis bahawa kritikan Loke terhadap Ewon sebenarnya “mengesahkan isu yang cuba dinafikan” bahawa tuntutan kesaksamaan Borneo semakin mustahil untuk diabaikan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN