Robert menyerah sumbangan Pengerusi Masjid Nur Hidayah di Pekan Bingkor Haji Yazid (kanan)sambil disaksikan oleh Zulkifli (dua dari kanan).
KENINGAU:Pelbagai pengisian sempena Jelajah Ramadhan sedekad RTM Sabah di daerah bagi mengimarahkan Ramadan selain menyantuni golongan kurang bernasib baik.
Antara aktiviti dijalankan gotong-royong memasak bubur kacang, Rakaman Tazkirah Ramadan, Majlis Berbuka Puasa dan Ziarah Mahabbah “Semarak Kasih” Keningaufm dengan menyantuni dua ketua isi rumah (K.I.R) yang mengalami penyakit angin ahmar di Kampung Ontolob dan Minansut di Mukim Bingkor di mana masing-masing menerima bantuan keperluan harian dan wang tunai.
Selain itu, rombongan jelajah turut menziarahi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di kampung Merampong seterusnya menyampaikan sumbangan kewangan.
Turut menerima bantuan sama, Kelas Fardu Ain KAFA As-Syakirin dan Tabung Masjid Nur Hidayah di Pekan Bingkor.
Kesemua bantuan ini disampaikan Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga wakil rakyat Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin dengan diiringi Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Zulkifli Mohd.
Terdahulu berucap sebelum majlis berbuka puasa , Datuk Robert merakamkan penghargaan peranan RTM sebagai penyalur maklumat sahih dan tepat kepada orang awam terutama berkenaan pematuhan prosuder operasi standard SOP Covid 19 dalam fasa peralihan endemik termasuk dasar-dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) mahupun kerajaan persekutuan.
Jelas Datuk Robert, program ini sememangnya merupakan satu program yang baik kerana bukan sahaja dapat membantu mereka yang memerlukan tetapi dalam masa yang sama dapat mendekatkan RTM dengan masyarakat khususnya di daerah Pedalaman.

Pengurus Keningau FM Ivy Rudolf menyampaikan cenderamata kepada Robert.
“Melalui program sebegini juga dapat merealisasikan konsep ‘Keluarga Malaysia’menerusi penyampaian sumbangan bukan sahaja di kalangan saudara seIslam tetapi juga mereka yang bukan beragama Islam” katanya.
Sementara itu berucap pada majlis sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Zulkifli Mohd, berkata, RTM sabah sentiasa terbuka berkerjasama dengan badan korporat dan badan bukan kerajaan NGO dalam menjalankan program amal sepanjang bulan ramadhan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Program Jelajah Ramadan ini mendapat reaksi positif dari orang ramai.
Bagi Penerima sumbangan Losing Eki dan Susia Apang mewakili suami masing-masing menzahirkan penghargaan kepada pihak RTM atas kunjungan dan sumbangan yang setidak-tidaknya dapat mengurangkan beban mereka dibulan ramadan.
Pengerusi Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor Haji Yazid Tawik berpendapat dengan adanya program turun padang ini, bukan sahaja dapat memperkenalkan RTM kepada masyarakat, tetapi juga bantuan sumbangan yang diberikan dapat membantu pelaksanaan aktiviti dan manfaat kepada masyarakat sepanjang ramadan ini.
Nurul Adua Izza Halim, Guru Kafa As-Syakirin Pekan Bingkor turut menzahirkan penghargaan dan berharap sumbangan tersebut dapat digunakan membantu pelaksanaan pelbagai program bulan ramadan.
Program Jelajah Ramadan di Keningau merupakan destinasi Kedua selepas Sandakan dijayakan dengan kerjasama strategik Pejabat Unit Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor, Agensi Antdadah Kebangsaan (AADK) Keningau, Takaful Ikhlas Keningau, Masjid Nur Hidayah Bingkor, Misi Sinar Sdn Bhd, Shell Hitam Apin-apin Keningau, Medan Citra Rasa dan Rahmat Cafe dan Catering 1 & 2.