Barisan pemain Ex- Kimondou yang memenangi perlawanan persahabatan itu
RANAU: Pasukan Ex-Kimondou menewaskan pasukan JY Team 4-3 dalam perlawanan bola sepak persahabatan yang berlangsung di Padang Kampung Sinarut Baru, di sini pada Jumaat.
Gol-gol pasukan Ex-Kimondou dijaringkan oleh Salleh Sidam, Martin Solili dan Albert Solingib.
Saleh Sidam menjadi Wira Ex-Kimondou apabila berjaya menjaringkan dua gol untuk pasukan, manakala Martin dan Albert, masing-masing satu gol.
Pasukan JY Team walau bagaimanapun telah memberikan saingan sengit pada perlawanan itu apabila berjaya memperoleh tiga gol.
Romzie@Likad Bin Mohamad, turut muncul wira pasukan JY Team apabila berjaya menjaringkan tiga gol sekali gus mencipta Hat-trick pada perlawanan itu.

SEMANGAT…… Datuk Jonathan (depan tiga kiri) turut turun beraksi untuk Pasukan JY Team
Perlawanan persahabatan yang julung-julung kali diadakan itu, turut menarik perhatian penonton yang datang apabila Ahli Parlimen Ranau, yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin, turun beraksi untuk pasukan JY Team.
Turut turun bermain, Ketua Daerah, Mahkamah Anak Negeri (MAN) Ranau, OKK Muhasip Hj.Ruman, mewakili pasukan Ex-Kimondou.
Sementara itu, ketua pasukan JY Team, Rosli Sapin ketika ditemui selepas perlawanan berkata, aktiviti seumpama itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
“Perlawanan bola sepak persahabatan yang diadakan ini mampu mengeratkan silaturahim di antara kedua-dua pasukan selain memberi ruang serta peluang kepada para pemain kedua-dua pasukan untuk beramah mesra dengan pemimpin iaitu Ahli Parlimen Ranau dengan lebih dekat.
Perlawanan persahabatan itu turut diserikan dengan persembahan Tarian Singa daripada Persatuan Peranakan Tionghua Ranau.