26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pelapis muda perlu jati diri dan nilai kerjasama: Redonah

TAWAU: Pelapis muda yang bakal menerajui tampuk pemerintahan kelak diseru untuk sentiasa membentuk dan mengekalkan jati diri yang sesuai dan mampu memegang nilai kerjasama dalam usaha membentuk komuniti yang bersatu padu.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata usaha mendidik generasi muda perlu bermula dari peringkat awal dan ibu bapa memainkan peranan sejak dari rumah.

“Didik anak kita dari peringkat awal tentang pentingnya ilmu kerana dengan ilmulah kita akan membentuk jati diri dan pegangan anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir di Kursus Kepimpinan Asas Pemimpin Wanita (Akar Umbi dan Politik) disini Hotel Emas Tawau pada Isnin.

Menurut Redonah, negara dan negeri memerlukan pemimpin pelapis yang celik ilmu dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang.

“Kita mahu pelapis yang bakal memimpin masyarakat kita untuk masa akan datang adalah mereka yang mempunya ilmu, celik pemikiran, berfikiran terbuka dan mempunyai kemahiran tambahan yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat dan rakyat.

“Kita mahu pemimpin kita di masa depan adalah pemimpin yang mana kita pupuk nilai murni dan moral yang sesuai dengan keperluan masyarakat, negeri dan negara,”katanya.

Jelas beliau lagi, ciri-ciri pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang mampu bekerjasama dan bersatu dalam membawa suara dan hala tuju untuk rakyat.

“Kita sebagai pemimpin, kita juga mahu generasi akan datang yang bakal menggantikan kepimpinan sedia ada kelak, mempunyai pendirian tegas, berani dan berpegang kepada prinsip bersatu teguh bercerai roboh.

“Kita memerlukan kepimpinan dan kesatuan yang utuh, yang bersatu hati dan berpadu sebagai sebuah pasuka,”katanya lagi.

Tambah Redonah lagi, pelapis masa depan perlu berjaya dalam semua proses membentuk jati diri dan kemahiran agar kredibiliti mereka tidak diragui dan disangkal oleh mana-mana pihak.

“Saya harap generasi baharu mampu menjadi generasi yang berjaya, belajar tentang semua yang diperlukan, tentang isu semasa dan realiti sebenar keadaan di luar sana.

“Sesungguhnya saya sendiri mempunyai anak, saya sebagai seorang ibu, sentiasa berharap agar anak-anak saya mampu mencipta kejayaan untuk diri mereka dan membanggakan keluarga, komuniti dan semua.

“Saya amat yakin, semua ibu bapa mempunyai perasaan yang serupa dan berpegang kepada prinsip untuk melahirkan dan membentuk anak muda, pelapis yang hebat dan berjaya,” jelasnya lagi.

Redonah turut meminta agar pemimpin sedia ada untuk sentiasa berlapang dada dan berkongsi segala ilmu yang ada dengan generasi baharu.

“Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, sebuah pepatah Arab yang cukup besar maknanya.

“Ilmu yang kita amalkan, kita kongsikan dan kita sebarkan kepada lebih ramai lagi, adalah sebuah amal jariah, sebuah sedekah yang cukup besar pahala, sekaligus menjadi saham kita di akhirat sana.

“Wajar sekiranya yang senior mencurahkan ilmu dan berkongsi pengalaman untuk mendidik yang junior.

“Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, kongsi ilmu untuk membentuk generasi akan datang yang lebih baik, insyaAllah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Redonah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pemimpin lama yang telah berusaha membawa kejayaan dan memperjuangkan hasrat rakyat.

“Semua jasa pemimpin lama dan mereka yang mungkin masa ini sudah tidak bersama kita akan terus dikenang.

“Kita sedar bahawa tanpa mereka pastinya kita tidak akan berada pada keadaan dan menikmati kesejahteraan seperti ini.

“Seperti juga pejuang-pejuang yang mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan tanah air kita, bekerja keras untuk kemerdekaan kita, ibu bapa serta guru-guru yang membesarkan dan mendidik kita.

“Belajar dari sejarah, berusaha keras dan tidak putus asa dalam mengejar cita-cita anda.

“Semoga kepimpinan baharu yang bakal membawa kejayaan pada kita kelak akan terus membawa legasi kepimpinan yang baik dan berkualiti sehingga ke akhirnya dan seterusnya, insyaAllah,” ujar beliau lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN