ADVERTISEMENTspot_img

Pelajar FKAL bantu naik taraf Dewan Komuniti Kampung Layang-Layangan

Dr. Suzillah Sidek (enam kiri), Mohamad Amin (tujuh kanan) bersama ahli jawatankuasa Projek SULAM Komuniti Impak Bersepadu (KIB), wakil KEBAL dan penduduk Kampung Layang-Layangan selepas majlis penyerahan barangan sumbangan.

LABUAN: Seramai 10 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berjaya melaksanakan Projek Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) Komuniti Impak Bersepadu (KIB) bagi menambah baik kemudahan di Dewan Komuniti Kampung Layang-Layangan, baru-baru ini.

Projek yang diselaraskan di bawah kursus GT30203 International Corporate Finance dan diselia oleh Dr. Suzillah Sidek itu bertujuan meningkatkan keselesaan dan keberkesanan penggunaan dewan komuniti sebagai pusat aktiviti penduduk setempat.

Pengarah projek, Mohamad Amin Aliansyah, berkata pihaknya berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM2,163 daripada sumbangan 47 penderma menerusi kempen pendanaan awam (crowdfunding) yang dijalankan melalui platform Kitafund dengan sokongan orang ramai, komuniti setempat dan warga universiti.

Selain bertujuan menambah baik kemudahan fizikal dewan komuniti, projek ini turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai konsep pendanaan awam (crowdfunding) sebagai satu kaedah alternatif untuk mengumpul dana bagi tujuan pembangunan komuniti.

Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui perkongsian ilmu dan pendedahan kepada pendekatan pembiayaan inovatif, serta SDG 17: Perkongsian Demi Matlamat menerusi kerjasama erat antara universiti, komuniti setempat dan orang ramai dalam menjayakan projek berimpak sosial.

Menurut beliau, dana yang diperoleh digunakan bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas di dewan komuniti, termasuk sumbangan dua meja pejabat, dua kerusi pejabat, dua rak simpanan, empat langsir, dua papan kenyataan dan sebuah dispenser air.

Katanya lagi, aktiviti gotong-royong membersihkan dewan telah dilaksanakan pada 17 Jun 2026, manakala majlis penyerahan barangan sumbangan kepada pihak Kampung Layang-Layangan telah diadakan pada 28 Jun 2026.

“Projek ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan fizikal dewan komuniti, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah melalui penglibatan secara langsung bersama masyarakat serta memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial,”katanya.

Program tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) serta mendapat sokongan daripada pemimpin dan penduduk Kampung Layang-Layangan yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong dan penambahbaikan fasiliti dewan.

Projek itu turut dijayakan Muhammad Rewan Arman, Nathalie Norbert, Chen Nyuk Mae, Nursyahira Sapri, Alexander Legul, Mohamad Rizman Aiman Kasman, Siti Syanidah Abdul Samad, Kazmiayani Syamsuddin dan Nur Syafieka Ayuni Hirmansyah.

Penganjuran Projek SULAM KIB ini diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Kampung Layang-Layangan di samping memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti serta melahirkan mahasiswa yang mempunyai nilai kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial yang tinggi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN