ADVERTISEMENTspot_img

YPNM Sabah Sambut Baik Program NUR@PETRA, Bantu Ringankan Beban Kos Sara Hidup Pengguna

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Program e-Rebat NUR@PETRA yang disifatkan mampu membantu meringankan beban kewangan rakyat melalui pemberian rebat pembelian peralatan elektrik cekap tenaga.

Dalam kenyataan hari ini, YPNM Sabah berkata menerusi program itu, pengguna yang layak boleh menikmati rebat sehingga RM200 bagi setiap individu atau isi rumah untuk pembelian peralatan elektrik rumah bertaraf lima bintang yang diperakui oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS).

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah yang tepat pada masanya dan berorientasikan kebajikan rakyat, khususnya ketika ramai pengguna masih berdepan peningkatan kos sara hidup serta bil elektrik yang semakin meningkat.

Katanya, program itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos pembelian awal peralatan elektrik, malah memberi manfaat jangka panjang melalui penjimatan penggunaan tenaga yang dapat mengurangkan bil elektrik bulanan.

“Di Sabah, penggunaan elektrik lazimnya lebih tinggi berikutan cuaca panas serta kebergantungan terhadap penggunaan penghawa dingin. Justeru, inisiatif ini dijangka memberi kelegaan kewangan yang signifikan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, YPNM Sabah menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan dengan memilih peralatan elektrik yang diperakui cekap tenaga bagi menyokong usaha penjimatan kos serta agenda kecekapan tenaga dan kelestarian negara.

Pada masa sama, pengguna turut diingatkan supaya memastikan peralatan yang dibeli adalah model yang layak di bawah Program NUR@PETRA serta mempunyai pensijilan kecekapan tenaga yang diiktiraf bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

YPNM Sabah berpandangan Program NUR@PETRA mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menjaga kebajikan pengguna, menggalakkan penggunaan tenaga secara mampan dan membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN