31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pegawai dan Penolong Pegawai Daerah perlu berintegriti, jujur dan objektiviti melaksanakan tugas.

UNTUK ALBUM …. Jahid dan Pembantu Menteri Tuan Harun Bin Durabi, Tuan Samad Bin Jambri @ Jamri, Fredian dan Haji Faimin mengabadikan kenangan bersama para Pegawai dan Penolong Pegawai Daerah yang hadir.

KOTA KINABALU – Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah disaran untuk mengamalkan sifat integriti, kejujuran dan objektiviti dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata sifat kesaksamaan serta bersikap adil kepada rakyat juga ditekankan dalam perkhidmatan sebagai pemimpin daerah.

“Paling penting adalah kesabaran dan menggunakan kebijaksanaan dalam menghadapi karenah pemimpin, sekiranya ada masalah, berkongsilah pengalaman dengan kawan-kawan dari daerah yang lain,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri dan Serah Terima Tugas Jawatan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah di Dewan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, dekat sini hari ini.

SERAH Dan Terima Tugas di antara Fredian dan Faimin sambil disaksikan Jahid, Harun dan Samad.

Turut hadir Pembantu Menteri Tuan Harun Bin Durabi dan Tuan Samad Bin Jambri @ Jamri serta para Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah dari seluruh Sabah.

“Kita hayati Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) iaitu dasar anti rasuah yang mencerminkan harapan tinggi rakyat untuk negara bebas rasuah yang mengamalkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti,” tegas Jahid.

Katanya, para ADO dan DO juga perlu bersiap sedia kerana kementerian melalui Pejabat Daerah diminta memutihkan atau mengemaskini senarai e-Kasih kepada mereka yang benar-benar memerlukan pembelaan.

Jahid turut menggesa pihak Pejabat Daerah untuk membuat penyenaraian jalan raya luar bandar yang tidak termasuk dalam senarai Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam bentuk pangkalan data untuk diambil tindakan.

“Niat kita adalah bagi membantu membasmi kemiskinan, iaitu bagaimana cara kita dapat meningkatkan kehidupan rakyat, jadi gunakanlah pengalaman-pengalaman yang ada untuk mencadangkan apa yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, cabaran pertama yang sangat besar pada masa kini adalah Pandemik Covid-19, manakala seterusnya nanti adalah persediaan ke arah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Tambahnya lagi, harapan kerajaan negeri kepada pihak Pejabat Daerah sangat tinggi, justeru kerjasama yang baik antara mereka semua adalah amat penting.

“Gunakan sepenuhnya kemudahan-kemudahan komunikasi teknologi masa kini dan teruskanlah perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, menyarankan agar para pemimpin sentiasa menjaga kesihatan kerana badan sihat merupakan asas paling penting dalam hidup selaindikurniakan kekuatan ilham dan iltizam untuk memberi input yang baik kepada rakyat.

“Teruskan kreativiti, jangan hadkan keupayaan diri tetapi gunakan sepenuhnya segala kelebihan yang ada, yakinlah pada diri dan kita lupakan segala hal yang sudah berlalu, kita bergerak ke hadapan untuk mendapat hasil yang lebih baik pada tahun ini,” kata Jahid.

Beliau juga mengucapkan selamat bertugas di tempat baharu kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Fredian Gan dan berharap segala ilmunya nanti dapat diperturunkan kepada Setiausaha Tetap KPLBS yang baharu.

“Tetapi saya percaya SUT baharu juga mempunyai cara tersendiri untuk melaksanakan agenda pembangunan luar bandar Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Fredian Gan yang bakal bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri menghargai sokongan semua pihak baik dari Pejabat Daerah mahu pun dari KPLB Sabah selama beliau bertugas.

Manakala SUT KPLB Sabah yang baharu, Tuan Haji Faimin Kamin berharap agar semua Pegawai dan Penolong Pegawai Daerah akan saling menyokong dan memberi kerjasama yang baik kepada kementerian itu sepanjang beliau mengambil alih tugas nanti.

Majlis tersebut diakhiri dengan penayangan video mengenai kerjaya Fredian sepanjang bertugas di KPLB Sabah dan upacara pemotongan kek sebagai tanda perpisahan kepada Fredian dan ucapan selamat datang kepada Haji Faimin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN