Datuk Abidin Madingkir (duduk tengah) bersama para Pemegang Adat DUN Paginatan dan lain-lain menunjukkan tanda bagus terhadap program itu
RANAU: Majlis pecah tanah bagi pengujudan Pekan Kecil Paginatan akan dibuat pada 26hb Julai 2025 kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir
“Masa yang dinanti-nantikan bakal tiba tidak lama lagi. Majlis pecah tanah itu menandakan bermulanya pembinaan Pekan Baru Paginatan yang sudah kita rancangkan sejak dahulu.
“Ini merupakan suatu berita yang sangat menggembirakan dan ia adalah satu kebanggan kita khusus bagi rakyat di DUN Paginatan dan masyarakat Ranau amnya.
“Atas usaha kita yang berterusan dan tidak mengenal penat lelah, kita berbangga kerana tidak lama lagi proses pecah tanah dapat dilaksakan, diikuti dengan proses pembinaan dan proses-proses yang seterusnya,” kata beliau.
Di samping itu, Abidin berkata, jambatan besi Lungkidau juga sedang dalam pembinaan dan sementara menunggu jambatan ini siap, jambatan gantung yang sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan akan bermula pembinaannya dalam masa terdekat.
Selain itu, katanya, penyerahan geran bagi pengukuran Pantas telah selesai dilaksanakan di Kg. Sagindai Lama, Kg. Sagindai Baru dan Kg. Sungangon.
Sementara baru-baru ini lebih kurang 400 geran juga telah diserahkan kepada pemilik tanah di Kg. Narawang, Kg. Lutut dan Kg. Waluhu.
“Pengukuran Pantas seterusnya akan kita buat di Mukim Suminimpod. Kerja pemeriksaan untuk penyukatan Pantas akan dibuat di Kg. Kigiwit, Kg. Kodop dan Kg. Tinanom,” katanya.
Tambah beliau, pengukuran Pantas akan dilaksanakan di Kg. Bongkud dan Kg. Namaus apabila peruntukan sudah dikeluarkan.
“Kesemua ini adalah inisiatif kerajaan GRS melalui pelan pembangunan SMJ 1.0. Semua dilaksanakan untuk mensejahterakan rakyat.
“Saya menyeru supaya kita terus memberi mandat kepada Kerajaan GRS untuk memerintah Negeri kita selepas PRN17 demi kesinambungan program pembangunan melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Dwi Tahunan Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan dan Penyampaian Watikah Perlantikan Pemegang Adat DUN Paginatan di sini, Isnin.
Beliau yang juga Penaung Persatuan itu berterima kasih atas jemputan merasmikan mesyuarat itu, sambil mengajak agar semua ahli teruskan hubungan yang sudah terjalin begitu baik sekali.
“Ikatan persahabatan ini harus dijaga dan diharap ianya akan beterusan. Cuma kemenangan kita bersama dalam Pilihanraya akan datang dapat menambahkan eratnya ikatan persahabatan kita.
“Oleh itu mula dari sekarang saya menyeru kepada semua ahli Persatuan Pemegang Adat supaya dapat melipat gandakan usaha demi kemenangan kita bersama.
“Di kesempatan ini juga saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada barisan AJK Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan yang baru dilantik,” kata beliau.
Abidin menambah, pencapaian Persatuan Pemegang Adat memang tidak dapat dinafikan lagi di mana salah satunya ialah pembinaan Tugu Sabah Day di Nunuk Ragang.
“Ia diilham dan dibina oleh Persatuan Pemegang Adat. Satu usaha yang amat bermakna bukan sahaja kepada ahli Persatuan tetapi kepada seluruh rakyat DUN Paginatan.
“Kita amat berbangga dengan inisiatif yang telah dibuat oleh ahli-ahli Persatuan. Kita akan menjaga tugu ini dengan baik untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” kata beliau.
Pada majlis ini beliau sempat menyempurnakan penyerahan Watikah Perlantikan kepada semua Pemegang Adat DUN Paginatan.
YB Datuk Abidin juga mengumumkan sumbangan kepada Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan sebanyak RM10 ribu untuk digunakan bagi membiayai aktiviti persatuan.
Dalam ucapannya, Pengerusi Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan, KAN Dualis Porodtong turut mengucapkan tahniah kepada barisan AJK yang baru, dan mengatakan bahawa barisan yang baru dipilih mewakili kesemua mukim di DUN Paginatan.
“Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan telah ditubuhkan pada 5 Disember 2019 dan berjaya didaftarkan dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 26 Februari 2020.
“Persatuan mempunyai ahli lebih 100 Pemegang Adat daripada DUN N38 Paginatan dan dinaungi oleh Wakil Rakyat DUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir.
“Tujuan utama Persatuan ini diujudkan adalah mengeratkan perpaduan diantara ahli disamping menjaga kebajikan ahli-ahli dengan cogankata Persatuan ‘Bersatu Bekerjasama Mewujudkan Perpaduan Meringankan Beban’,” katanya.
Dualis berkata, antara pencapaian yang telah dicapai oleh persatuan itu adalah hampir kesemua kampung di DUN Paginatan telah berjaya membukukan Adat Resam masing-masing.
Persatuan juga telah mengangkat Hari Sabah sebagai satu Hari yang amat bermakna sehingga Batu Asas Hari Sabah telah dipahat di Perkarangan Tanah Adat di Nunuk Ragang.
“Dan banyak lagi pencapaian yang sudah diperolehi oleh Persatuan sudah tentunya ia dicapai atas sokongan dan dokongan oleh Wakil Rakyat DUN Paginatan,” katanya.
Justeru beliau menyeru kepada semua ahli Persatuan supaya bekerja keras untuk memastikan kemenangan YB Datuk Abidin dalam PRN17 akan datang.
“Atas usaha berterusan Yb Datuk Abidin, DUN Paginatan telah berjaya menambah 9 kuota JKKK dan 3 Ketua Kampung dan beberapa lagi kampung akan mendapat JKKK dan Ketua Kampung masing- dalam masa terdekat.
“Persatuan juga akan memohon tambahan kuota Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN) dan juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) bagi kawasan DUN Paginatan.
“Semoga kesatuan kita sebagai keluarga besar Pemegang Adat dapat memberi kemenangan yang bergaya kepada YB Datuk Abidin Madingkir dalam Pilihanraya akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Daerah, OKK Muhasip Hj Rauman berkata, bagi pihak Mahkamah Anak Negeri (MAN) Ranau merakamkan jutaan terima kasih atas kehadiran YB Datuk Abidin Madingkir ke Mesyuarat Agung Dwi Tahunan itu.
“Beliau bukan sekadar datang untuk merasmi majlis kita tetapi beliau sentiasa prihatin dan sentiasa hadir apabila dijemput oleh Persatuan sebagai Penaung Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan.
“Bahkan sentiasa memberi sokongan moral dan kewangan bagi membiayai aktiviti Persatuan,” katanya.
Muhasip merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Barisan Ahli Jawatankuasa yang baru dan masih diketuai oleh KAN Dualis Porodtong.
“Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan adalah satu-satunya Persatuan yang berdaftar dengan ROS. Usaha untuk mendaftar Persatuan bukanlah satu yang mudah tetapi memerlukan kesungguhan. Oleh itu jaga lah Persatuan kamu dengan baik.
“Mudah-mudahan selepas PRN17 kita masih ada disini, kita akan terus adakan aktiviti Pemegang adat dengan lebih hebat lagi,” katanya.
Beliau turut menyeru semua ahli Persatuan supaya mendambakan slogan “Ranau di hati ku” kerana slogan ini boleh menyemai bibit-bibit menyanyangi Ranau sebagai tanah tempat tumpah darah setiap ahli.
“Penduduk Ranau yang hanya dalam sekitar 80 ribu orang harus bersatu padu. Melalui kesatuan sahaja kita boleh memajukan Ranau. Kita bersatu Kita berusaha.
“Kita juga harus bersatu dalam politik. Kita akan pastikan kesemua YB kita di Ranau khususnya yang daripada GRS memperolehi kemenangan yang bergaya pada PRN17 akan datang.
“Kepada semua ahli Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan, tingkatkan usaha untuk memastikan kemenangan Datuk Abidin Madingkir di DUN Paginatan. “Adalah tanggungjawab semua ahli Pemegang Adat untuk menangkis tohmahan- tohmahan pihak lawan yang tidak berasas. Teruskan berusaha mulai dari sekarang,” jelas beliau.
Turut hadir di majlis itu, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Ketua Wiramuda Star Paginatan Hillary Salmoen, Ketua Wiranita Star Paginatan Siti Nurjana Abas dan lain-lain.



