RANAU: Tiga orang lelaki termasuk dua orang warga asing telah ditangkap oleh anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Ranau kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini pada hari Selasa.
Hasil pemeriksaan terhadap salah seorang suspek, iaitu lelaki tempatan berusia 26 tahun, polis menjumpai barang terlarang dipercayai dadah jenis syabu.
Manakala dua lagi suspek warga asing yang turut diperiksa tidak mempunyai sebarang barang salah namun disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Ranau untuk ujian saringan awal air kencing.
Ujian air kencing mendapati ada diantara suspek ini positif dadah jenis syabu. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Permohonan reman telah dibuat bagi melengkapkan siasatan.
Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan pada 16 April 2025, jam lebih kurang 2.00 petang, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ranau telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di daerah Ranau.
Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota bertugas tidak menemui sebarang barang salah pada tubuh badan suspek.
Namun, hasil pemeriksaan lanjut di dalam raga motosikal yang ditunggangnya telah membawa kepada penemuan satu botol berisi cecair disyaki air ketum yang disorok dalam botol air minuman.
Suspek telah ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Ranau untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
IPD Ranau terus komited dalam membanteras aktiviti berkaitan bahan terlarang yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.



