27 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PBS cukup berpengalaman mengendalikan hal ehwal parti

Christoper Mandut.

KOTA KINABALU: Jovilis Majami, ahli politik yang baru berusia ‘setahun jagung’, dinasihatkan agar menjaga tepi kain sendiri dan tidak mencampuri hal pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Kami tidak memerlukan pendapat beliau kerana PBS sentiasa berkomunikasi dengan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Oleh itu, beliau (Jovilis) tidak perlu mengingatkan kami tentang kekuatan kami,” kata Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut.

Menjawab kenyataan Jovilis baru-baru ini yang mendakwa zaman PBS telah berlalu, Mandut berkata beliau perlu terlebih dahulu mengkaji sejarah PBS sebelum membuat kesimpulan sedemikian.

“PBS telah bertapak di Sabah selama 36 tahun, dan merupakan parti berbilang kaum tertua di negara ini. Walaupun selama tiga dekad, PBS masih relevan dan orang memuji dan menghormati parti ini kerana ia konsisten, setia dan teguh. Kami cukup berpengalaman untuk menangani perkara kami sendiri.

“Para pemimpin kami sangat setia, dan kedua-dua presiden PBS tidak pernah berganjak dan tetap bersama parti sejak penubuhannya, tidak seperti sesetengah ahli politik yang senang goyah sehinggakan sanggup melompat dari satu parti ke parti yang lain hanya untuk memenuhi agenda mereka sendiri.

“Jovilis tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk mengata mengenai presiden PBS. Lebih baik menjaga ‘rumah’ sendiri,” kata Mandut, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Jovilis, yang merupakan Setiausaha Penyelaras Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kota Marudu, dalam kenyataan beliau berkata STAR juga bersedia bertanding di kawasan DUN Tandek dan Parlimen Kota Marudu, jika PBS bersungguh-sungguh menuntut kerusi Keningau, seperti yang diberi bayangan oleh Ongkili ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Tambunan minggu lalu.

“Kenyataan Presiden (Ongkili) adalah umum, sama seperti mana-mana pihak lain di bawah GRS, kita semua dibenarkan untuk menyuarakan pandangan. Namun akhirnya, terpulang kepada kepimpinan tertinggi yang akan membuat keputusan.

“Oleh sebab itu, dalam hal ini, saya hanya menganggap Jovilis menyuarakan pendapat bagi pihak parti beliau, kerana saya juga sedang melakukan perkara yang sama demi mempertahankan kehormatan parti saya.

“Tetapi sekiranya Jovilis serius mengenai STAR akan turut bertanding di Kota Marudu, saya berjanji PBS akan bekerja keras dan memastikan kemenangan berada di pihak kami.”

Mandut menambah bahawa ‘gangguan’ dari pihak STAR di kawasan Kota Marudu bukanlah perkara baharu kerana parti tersebut pernah meletakkan dua calon bebas di Tandek dan Matunggong dalam pilihan raya negeri yang lalu, yang akhirnya dimenangi calon PBS.

“Nasihat saya kepada Jovilis, jika beliau ingin mengambil hati Presiden beliau, maka beliau tidak perlu terlalu cemas. STAR secara jelas telah ‘memancing’ ahli PBS untuk menyertai parti mereka, tetapi kami dalam PBS tidak pernah kecoh. Malah kini, PBS sedang dalam proses meremajakan parti, dan fokus parti ialah menarik lebih ramai ahli dari golongan professional, sekaligus melatih mereka untuk menghayati dan memahami teras perjuangan PBS. Golongan ini adalah generasi pemimpin masa hadapan PBS dan kami mahu PBS kekal selamanya,” kata Mandut.

Beliau menegaskan bahawa PBS akan terus bekerjasama dengan rakan-rakannya dalam GRS, dan mencampai penyelesaian kepada masalah yang ada, sambil mengekalkan hubungan yang baik dikalangan parti, tidak kira di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Buat masa ini, apa yang penting adalah untuk mengukuhkan hubungan kita di dalam GRS, bukannya menuding jari mencari kesalahan. Kita perlu menggunakan kekuatan kita sebaiknya, dan membantu satu sama lain mengatasi kelemahan kita bersama. Itu adalah resepi untuk kekal dihati rakyat. Kita perlu melawan musuh kita, bukan antara satu sama lain,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN