32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mac 29, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PASUKAN ZON ULU SUGUT (LELAKI) DAN ZON GARAS (PEREMPUAN) MUNCUL JOHAN BOLA TAMPAR MSSDR

Pasukan Zon Ulu Sugut, Johan ( lelaki barisan belakang )

RANAU: Pasukan Zon Ulu Sugut ( lelaki ) dan Zon Garas ( perempuan ) masing-masing muncul johan dalam Kejohanan Bola Tampar Peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah Ranau (MSSDR) yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar Kampung Karanaan baru-baru ini.

Zon Ulu Sugut berjaya menewaskan Zon Tengah di peringkat menentukan juara dalam perlawanan set pertama 16-14 dan set kedua 15-5 sekaligus menjadikan Zon Tengah berada di tempat kedua. Tempat ketiga dikongsi bersama oleh Zon Selatan dan Zon Garas.

Perlawanan sengit kategori perempuan menyaksikan Zon Garas dan Zon Ulu Sugut diheret hingga ke perlawanan penentuan set ketiga. Zon Garas yang menang pada perlawanan set pertama 15-12 tewas pada perlawanan set kedua 10-15 namun bangkit semula pada penentuan di set ketiga menundukkan Zon Ulu Sugut. Zon Ulu Sugut menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga dikongsi bersama oleh Zon Selatan dan Zon Utara.

Kejohanan Bola Tampar Bawah 12 tahun yang dikelolakan oleh SK. Karanaan bersama MSS Zon Selatan pada tahun ini disifatkan oleh jurulatih dan pengiring pasukan sebagai penuh dramatik apabila permainan yang dimulakan seawal jam 8.00 pagi berakhir hingga ke jam 7.00 malam. Walaupun kawasan gelanggang kampung berkenaan terpaksa bergantung kepada lampu sorot (spotlight) yang tidak dapat menerangi sepenuhnya dengan jelas segala sudut gelanggang namun semua pasukan tetap setia dan bersemangat untuk meneruskan perlawanan.

Pasukan Zon Garas, Johan ( perempuan barisan depan ) ketika menentang tuan rumah

Pengerusi Pengelola Kejohanan selaku Guru Besar SK. Karanaan, Ahmad Humaizi Saleh ketika dihubungi media berkata, bagi pihak SK. Karanaan bersama MSS Zon Selatan dan semua pasukan yang menyertai kejohanan ingin merakamkan ucapan terimakasih kepada semua PIBG yang terlibat sama membuat persediaan vanue dari awal hingga kejohanan berakhir.

“Terimakasih, terutama sekali Encik Ramli Lajim selaku Pengerusi JPKK Kampung Karanaan yang telah meminjamkan lampu sorot. Beliau sangat memahami pasukan yang mengambil bahagian datang dari jauh dan perlu menghabiskan permainan pada hari yang sama juga. Kami pihak pengelola juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar. Bagi kami mereka semua adalah pemenang kerana telah menyertai kejohanan tersebut,” jelas Humaizi.

Hadiah dalam bentuk sijil dan medal telah disampaikan oleh Hafiz Stephen, Guru Besar SK. Tungou merangkap Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Selatan dan Ahmad Humaizi Saleh.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN