Pasukan Karate Wilayah Persekutuan Labuan yang menyertai Kejohanan Terbuka Piala Kemenpora Indonesia baru-baru ini.
LABUAN: Pasukan Karate Wilayah Persekutuan Labuan meraih tiga pingat emas, selain dua perak dan enam gangsa dalam kejohanan antarabangsa yang diadakan di Malang, Jawa Timur, Indonesia baru-baru ini pada Kejohanan Terbuka Karate Piala Kemenpora Republik Indonesia 2026.
Pada kejohanan itu, Pasukan Karate Labuan menghantar sembilan atlet dan berjaya menduduki tangga ke-10 daripada 81 kontinjen membabitkan 1,396 atlet.
Atlet senior, Syarulniza Abdul Jamil membuka tirai kejayaan apabila meraih pingat emas pertama dalam acara Kumite Senior Wanita 61 kilogram (kg).
Momentum diteruskan oleh Muhammad Isyraf Faiz Mohd Ismifarizal yang menghadiahkan emas dalam Kumite Senior Lelaki +84kg. Beliau turut menambah pingat perak dalam kategori Kumite U21 Lelaki +84kg.
Ayqal Mohd Dzulfadly pula menyumbang emas ketiga pasukan selepas muncul juara dalam Kumite U14 Lelaki -55kg.
Sementara itu, Mohamad Aqib Aimar Mohamad Affendi mempamerkan semangat juang tinggi apabila meraih pingat perak dalam Kumite U12 Lelaki -35kg selepas tewas tipis di perlawanan akhir. Beliau turut menyumbang pingat gangsa dalam acara Kata U12 Lelaki.
Muhammad Adil Mohd Badruddin turut mencatat prestasi cemerlang dengan menyumbang dua pingat gangsa dalam kategori Kata Junior Lelaki dan Kumite Junior Lelaki -68kg.
Pasangan adik-beradik kembar, Nur Aleesya Dayana Asmadie dan Nur Ariesya Dayana Asmadie, masing-masing menyumbang pingat gangsa dalam kategori Kumite Kadet Perempuan -54kg dan Kumite Kadet Perempuan -47kg.
Pingat gangsa keenam pasukan disumbangkan oleh Khaidyn Nazeem Mazri dalam kategori Kumite Kadet Lelaki +70kg.
Presidennya, Renshi Aswadee Taba berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan atlet Labuan Karate bersaing di peringkat antarabangsa serta menjadi petanda positif pembangunan sukan karate di Labuan.
Turut serta, Pengurus Pasukan, Mohamad Affendi Abas.



