27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pastikan status pemilikan tanah sebelum pengujudan kampung: Abidin

Abidin menerima borang keahlian baru Parti Star daripada penyokong di Kawasan ini


RANAU: Para pimpinan kampung digesa supaya memastikan status pemilikan tanah sesuatu kawasan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pengujudan perkampungan baru dilaksanakan.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir berkata status pemilikan tanah mesti dimuktamadkan terlebih dahulu sebelum langkah mewartakan kampung baru dijalankan.


“Kita ada menerima cadangan supaya kawasan perkampungan Pudau Ponulangon diwujudkan dan kita dapati kawasan ini memang cukup cantik dan strategik tetapi ia terletak di kawasan Hutan Simpan Kerajaan.


“Untuk makluman penduduk Kg Ponulangon dan sekitar sini, kawasan perkampungan Kg Ponulangon adalah berada dalam kawasan Hutan Simpan Kerajaan.


“Walaubagaimanapun usaha sudah kita buat termasuklah sudah beberapa kali membawa isu ini dan dimajukan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Hj Noor supaya kawasan perkampungan ini dapat dikeluarkan daripada hutan simpan,” katanya.


Abidin berterima kasih kepada Jabatan Hutan kerana memberi keistemewaan kepada penduduk kampung untuk terus mendiami kawasan hutan simpan tersebut.


“Tetapi kemahuan penduduk kampung adalah supaya kawasan ini dikeluarkan terus daripada hutan simpan dan membolehkan ia dipohon untuk pemilikan perseorangan oleh penduduk kampung.


“Untuk makluman semua, polisi kerajaan adalah untuk tidak membayar pampasan kepada penduduk kampung yang menduduki kawasan tanah kerajaan.


“Tidak boleh dibayar jika sekiranya tanaman ditanam di hutan simpan. Walaubagaimanapun kita akan cuba untuk memohon pertimbangan untuk pembayaran ‘ex gratia’ kepada penduduk kampung yang terlibat,” katanya.


Abidin berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kg Pudau/Ponulangon dan Penerimaan Keahlian Baru Parti StarSabah yang diadakan di sini baru-baru ini.


Beliau berkata, Kg Ponulangon kini sudah dapat dihubungi dengan mudah berikutan pembinaan jalanraya yang cantik dari Kg Walou ke Kg Ponulangon.


“Dulunya pertama kali ke Kg Ponulangon, kita mengambil masa lebih kurang 3 jam berjalan kaki tapi kini hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk sampai ke sini.


“Kita berterima kasih kepada Kerajaan kerana merealisasikan impian kita yang selalu saya bangkitkan dalam persidangan DUN. Kini, akhirnya kita mendapat kemudahan yang begitu bererti bagi penduduk Kg Ponulangon dan kampung-kampung sekitar,” katanya.


Sementara itu, Abidin turut menerima sebanyak 85 borang keahlian baru Parti StarSabah daripada penduduk Kg Pudau, Kg Kodop Lama dan Kg Nimbalai.


Borang keahlian baru itu disampaikan oleh WKAN Pamin Gudatin, Jaim Sinting dan Jonius John, di samping penerimaan kemasukan mantan Pengerusi JKKK Kg Tampios, Dominic Yulang.


Beliau merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli baru kerana memilih Parti Star sebagai wadah perjuangan politik untuk sama-sama menguatkan Kerajaan GRS dalam menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub daIam perlembagaan.


Dalam pada itu, katanya, Parti Star akan menggunakan lambang GRS dalam PRN akan datang, justeru menasihati ahli-ahli Star khususnya di Mukim Paus supaya setia kepada perjuangan parti Star dan sama-sama memberikan sokongan padu kepada beliau selaku wakil rakyat di sini.


“Kepada KAN, WKAN, KK, PJKKK, pastikan sokongan kepada GRS lebih kuat dan rakyat terus meyokong supaya GRS kekal menjadi kerajaan pada pilihanraya akan datang.


“Kerajaan GRS sudah banyak memberikan kemudahan kepada rakyat khususnya di Kg Ponulangon dan kampung sekitar. Perjuangan kerajaan GRS untuk menuntut cukai 40% supaya dikembalikan kepada Sabah akan dipergiatkan.


“Ketetapan kerajaan GRS terhadap tuntutan ini adalah ‘non negotiable’ kerana kita faham bahawa itu adalah hak kita,” katanya.


Abidin juga memberitahu bahawa pada 16 Mei ini akan ada pendengaran mahkamah mengenai tuntutan 40% yang difailkan oleh Sabah Law Association, dan semua pihak mengharapkan ada keputusan yang menggembirakan bagi rakyat Sabah.


Turut hadir, Pengerusi Penganjur WKAN Pamin Gudatin, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Dualis Porodtong, KAN Jaimin Jeffrey, Ketua Wiranita Nurjana Abas, Ketua Wiramuda Hillary Salmoen, Ketua Penerangan Suhaimin Duari, Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi- Pengerusi JKKK.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN