Gambar sekadar hiasan
RANAU: Pasar mingguan setiap Sabtu di sini akan dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat bermula 26 Disember ini.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR), Jupirin Haji Ruhimin ketika dihubungi kemarin bagaimanapun berkata, buat sementara waktu hanya peniaga dari daerah ini sahaja yang dibenarkan berniaga.
“Selain itu, para peniaga serta pengunjung perlu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan.
“Pemantauan akan dijalankan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi,” katanya.
Jupirin juga turut mengingatkan para peniaga agar sentiasa memastikan kebersihan tapak pasar.
“Kebersihan amat dititik beratkan, justeru semua pihak terutama para peniaga memberikan kerjasama,” seru beliau.
Tambahnya, jika terdapat perubahan berkaitan operasi pasar minguaan, pihaknya akan memaklumkan kepada para peniaga dari masa ke semasa.
Aktiviti pasar mingguan di tapak ‘Tamu Bulanan’ berhampiran Sungai Liwagu di sini telah ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) awal Oktober lalu.