KUALA LUMPUR: Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan penjenamaan semula terhadap Pas Residen pendatang asing yang diputuskan pada 12 Mei 2015.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) bersetuju pelaksanaan pas tersebut untuk mengelakkan risiko pemalsuan dokumen pendatang asing di negeri itu.
“Pas Residen ini kemudianya telah ditukar nama kepada Pas Residen Sementara Sabah (PRESS) pada tahun 2016.
“Pada tahun 2019, PRESS telah ditukar nama kepada PSS dengan matlamat menggabungkan semua pemegang kad IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, kad Burung-burung oleh Jabatan Ketua Menteri dan kad Banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Isnin (22 November) di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.
Dalam persoalannya, Madius meminta penjelasan sejauh mana pelaksanaan setiap cadangan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah terutama cadangan menggantikan Kad Pengenalan baru yang bercirikan digital.
Menjawab persoalan itu, Abd Latiff memaklumkan JKPWAS ditubuhkan pada 3 Disember 2014 seiring dengan cadangan pertama laporan RCI.
“Penyelesaian bagi isu pengurusan warga asing di Sabah memerlukan kerjasama dan komitmen antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Kerjasama ini melibatkan isu penyeragaman dokumen, kewarganegaraan dan rundingan dengan Perwakilan Asing seperti Filipina dan Indonesia.
“Selain itu, political will serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak termasuk daripada pemimpin politik, ketua-ketua masyarakat dan kaum adalah perlu dalam mencari persamaan dan kesepakatan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.
Ujarnya, dalam hal ini, hasil libat urus dan penelitian oleh Kerajaan Negeri Sabah ini akan dibincangkan semula dalam JKPWAS-Teknikal yang akan datang sebelum dibentangkan dalam JKPWAS-Induk untuk pengesahan.
“Selepas itu, JKPWAS-Induk akan mencadangkan mekanisme penyelesaian isu pengurusan warga asing di Sabah untuk persetujuan dan keputusan Sidang Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri,” jelas Abd Latiff.