SERAH….Haji Hamir menyerahkan sumbangan berupa keperluan harian kepada Ansharey (kanan) sambil diperhatikan Rithuan (tengah)
LABUAN: Parti PAS Wilayah Persekutuan Labuan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pengerak Kimuniti Negara Bahagian Labuan terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada sebilangan pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan yang dikenakan kuarantin akibat penularan wabak COVID 19.
Bantuan berupa keperluan harian masing masing diserahkan oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Labuan, Haji Hamir Zahari dan Pengerusi Pengerak Komuniti Negara, Bahagian Labuan Raynie Datuk Mohd Din kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Ansharey Matarsad selaku Penyelaras Bantuan Makanan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan.
Majlis penyerahan yang diadakan di Pusat Pengumpulan Bantaun Makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wisma Kian Yap di Jalan Tun Mustapha itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Menurut Haji Hamir bantuan tersebut bagi membantu dan meringankan beban pelajar-pelajar ILP yang sedang menjalani kuarantin COVID 19.
“Kita memahami masalah yang dihadapi pelajar kerana mereka tidak dapat keluar dan tentunya mereka memerlukan barang-barang harian seperti ubat gigi, sabun, pencuci pakaian, sampo dan juga makanan ringan seperti biskut dan sebagainya.
“ Kita berharap dengan adanya sedikit sumbangan ini akan dapat memberi kelegaan dan meringankan bebanan pelajar yang menghadapi kesulitan perintah kuarantin” katanya.