Abidin (tengah) menerima borang keahlian parti Star daripada salah seorang wakil penyokong dalam acara itu
RANAU: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Ranau berjaya membentuk 27 cawangan kampung di seluruh DUN Paginatan mengukuhkan kekuatannya di kawasan itu.
Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir berkata, ini menjadikan Star Paginatan menjadi kawasan pertama membentuk cawangan kampung memandangkan perlembagaan parti hanya mengesyorkan penubuhan cawangan di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Beliau berkata, setakat ini, tiga daripada cawangan kampung telah dirasmikan iaitu Mindohuon, Penulangon dan Muruk, manakala yang lain akan dirasmikan secara satu persatu tidak lama lagi.
Beliau memuji usaha pengerusi ketiga-tiga cawangan yang mempunyai komitmen dan gigih dalam memastikan program perasmian itu berjaya.
“Amat penting untuk memperkasakan parti Star di peringkat cawangan kampung kerana pada masa hadapan kita tidak menjangka hanya melihat di peringkat DUN tetapi kita akan melihat ke peringkat yang lebih luas dan lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kita mesti memastikan kita mengukuhkan sokongan di peringkat kampung terlebih dahulu sebelum kita boleh melihat ke peringkat seterusnya,” katanya.

Abidin (tengah) dan lain-lain melaungkan slogan Star semasa merasmikan tiga cawangan Star di PDM Nalapak pada Sabtu
Abidin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dan Ketua Star Ranau, berkata demikian semasa program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kg Muruk pada Sabtu.
Beliau berkata, sebenarnya memang berhasrat untuk menjelajah ke seluruh kampung di DUN Paginatan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri ke-14, namun penularan wabak Covid 19 diikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan perjalanan dari kampung ke kampung.
Bagaimanapun, beliau memuji pegawai dan kakitangan di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Paginatan kerana berjaya mengagihkan bakul makanan dan bantuan ke kawasan berkenaan sepanjang tempoh PKP.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk di PDM Nalapak atas sokongan mereka selama ini dan pada majlis itu beliau mengumumkan peruntukan untuk membantu membina bilik stor untuk dewan kampung.
Abidin juga berikrar untuk memberi bantuan kepada usaha gereja di sini membaiki kolam pembaptisan yang rosak di gereja SIB Kg Muruk.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Pusat merangkap Timbalan Ketua Star Paginatan, Fedrine Tuliang, Setiausaha Star Paginatan, Juis Konsoling, Ketua Anak Negeri, Dualis Porodtong, Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK antara lain.