28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Para pemilik tanah di DUN Paginatan bakal menerima geran tidak lama lagi: Abidin

Abidin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas di najlis itu


RANAU: Seramai 200 pemilik tanah di sini bakal mendapatkan geran tanah yang sudah lama dinanti-nantikan di mana ia akan dikeluarkan melalui penyukatan PANTAS dalam masa yang terdekat ini.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata susulan penyerahan itu nanti, lebih kurang 400 lagi geran tanah akan diedarkan secara berperingkat.
Beliau yang juga ADUN Paginatan memaklumkan bahawa geran-geran tanah ini kini masih dalam proses pencetakan.


“Kita bersyukur kerana kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin dengan keperluan rakyat sehingga geran-geran tanah ini dapat dikeluarkan.
“Ini adalah sebahagian daripada geran tanah yang dikeluarkan melalui penyukatan PANTAS yang telah dilaksanakan di Kg. Narawang, Kg. Lutut dan Kg. Waluhu beberapa masa yang lalu.


“Penyukatan PANTAS ini akan kita laksanakan di kampung-kampung yang lain kerana kita faham hak pemilikan tanah amat penting bagi penduduk kampung. ” tambah beliau.


Tambah Abidin, dengan adanya geran-geran tersebut sudah tentunya tidak ada lagi keraguan penduduk kampung mengusahakan tanah mereka kerana ianya sudah menjadi hak milik penduduk kampung.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Mesra Wiranita Star Paginatan Bersama Warga Emas Kg. Narawang, Kg. Lutut dan Kg. Waluhu dan Majlis Berbuka Puasa bersama Wakil Rakyat N38 Paginatan, serta para pemimpin dan penduduk kampung Mukim Bongkud di sini baru-baru ini.


Dalam majlis tersebut, beliau merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada sayap Wiranita Star Paginatan yang diketuai oleh Siti Nurjana Abas atas inisiatif mengadakan majlis tersebut.


“Majlis seperti ini sudah tentunya dapat merapatkan hubungan silaturahim di antara satu dengan yang lain tanpa mengira fahaman politik dan agama.


“Budaya seperti ini harus diteruskan demi keharmonian hidup bermasyarakat khususnya di kalangan rakyat DUN Paginatan,” katanya.


Dalam pada itu, sempena Bulan Ramadan Abidin turut mengambil peluang menyantuni para penduduk di DUN Paginatan dengan menghadiri majlis berbuka puasa yang dihadiri masyarakat dari seluruh lapisan agama, bangsa dan fahaman politik.


Dalam lawatan-lawatan yang dibuat, beliau turut sempat memberikan sumbangan berbentuk makanan dan wang tunai kepada golongan warga emas, golongan Asnaf dan juga mereka yang memerlukan.


Antara tempat-tempat yang dilawatinya termasuk Masjid Al Makmur Kinapulidan, Masjid Babul Janna Kg. Tagudon Baru, Masjid Nur Hikmah Kg. Silou, Mini Dewan Kg. Narawang, Surau Kg. Kigiok dan lain-lain.


“Kita bersyukur di Daerah Ranau kerana kita dapat bergaul, hidup bermasyarakat tanpa masalah. Dalam keluarga saya sendiri mempunyai anutan agama yang berlainan tetapi ikatan kekeluargaan tetap terpelihara.


“Seruan saya adalah, terus perkukuhkan budaya seperti ini kerana ini adalah asas hidup kekeluargaan yang baik. Terus utamakan ikatan kekeluargaan walaupun berlainan anutan agama dan fahaman politik.


“Terus bersatu, teruskan perpaduan. Ambil sikap sederhana dan teruskan budaya kita yang mempunyai toleransi yang amat tinggi di antara satu sama lain,” jelas beliau.


Turut Hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Kapilin Hj Surop, KAN Sawalin Zakaria, Ketua Wiramuda Star Paginatan, Hillary Salmoen dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN