GAMBAR: Anggota Maritim Zon Labuan dalam OP CARILAMAT yang memasuki hari kedua memperluaskan pencarian di sekitar perairan Lamidan dan Kuala Penyu Sabah.
LABUAN: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan menyambung semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki di percayai lemas ketika memukat di Pantai Lamidan Menumbok dekat di sini, pada pagi Isnin.
Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten (Maritim) Nudin Jusoh berkata, mangsa yang dikenali sebagai Sarizal Salleh 39 tahun, nelayan tempatan masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) disambung hari ini (Selasa) seawal jam 7 pagi.
Terdahulu sebelum itu katanya, Pusat Operasi Zon Maritim Labuan telah menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa pada jam 10 pagi pada Isnin dan Op CARILAMAT diaktifkan pada jam 10.10 pagi dengan fokas pencarian di kawasan sekitar radius lima batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.30 petang kelmarin (Isnin) kerana tiada penemuan sebarang petunjuk dan operasi disambung pagi ini dengan fokas pencarian diperluaskan sehingga radius 52 batu nautika daripada lokasi terakhir mangsa hilang” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, selain Maritim Malaysia, aset aset lain yang turut membantu dalam SAR itu ialah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Pertahanan Awam (APM) serta komuniti setempat.