KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah akan melaksanakan Op Tembak Laju di seluruh daerah di negeri ini bermula 19 hingga 24 Mac 2026 bersempena Op Selamat 26.
Menurut kenyataan hari ini, operasi tersebut bertujuan meminimumkan risiko kemalangan jalan raya selain mendidik pengguna agar sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan.
JSPT memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan dijalankan secara menyeluruh melibatkan kesalahan had laju serta lain-lain kesalahan trafik sepanjang tempoh operasi berkenaan.
Sehubungan itu, tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan bagi saman yang dikeluarkan sepanjang Op Tembak Laju, selaras dengan usaha memastikan integriti penguatkuasaan berada pada tahap tertinggi.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama penuh dengan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan bersama.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kolektif semua pihak bagi menjamin kesejahteraan komuniti di Sabah,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dengan mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan.



