Dr Wong (tengah) dan lain-lain dalam Majlis Penutupan Program “One Stop Diabetes” pada Jumaat
RANAU: Program “One Stop Diabetes” anjuran Unit Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Klinik Kesihatan Lohan, Ranau telah diadakan di Klinik Kesihatan Lohan pada hari Jumaat.
Program ini bertujuan memberikan pendidikan menyeluruh kepada pesakit diabetes dengan menekankan aspek komplikasi penyakit, pengambilan ubat yang betul, senaman selamat serta pemakanan seimbang.
Program ini telah dijalankan dalam empat sesi iaitu pada 25 April, 23 Mei, 20 Jun dan 25 Julai 2025, melibatkan seramai 69 orang peserta.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk saringan minda, saringan kesihatan dan pemeriksaan kaki, ceramah kesihatan diabetes, ceramah pengambilan ubat oleh Unit Farmasi, ceramah fisioterapi, serta ceramah khas daripada Unit Dietetik HQE2 melalui sidang video.
Majlis penutupan di Klinik Kesihatan Lohan, Ranau telah disempurnakan oleh Pegawai Perubatan PKD Ranau, Dr. Wong Yoke Kong.
Beliau berharap program ini memberi impak positif kepada klien diabetes dalam mengawal paras gula darah seterusnya mencegah komplikasi mikrovaskular dan makrovaskular.
“Setinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan program yang cukup bermakna ini. Semoga program bermanfaat ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.



