33 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

NTW Seiring Komitmen Kerajaan Perkasa Latihan, Pupuk Pembelajaran Sepanjang Hayat – Hajiji

Arifin (empat kiri) ketika sesi penyerahan 20 tablet kepada Jabatan Penjara Negeri Sabah sumbangan Ketua Menteri.

KOTA KINABALU :  Pelaksanaan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuhkan pusat latihan dan memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai tenaga kerja separa mahir, mahir dan berpengetahuan untuk  memenuhi keperluan pelabur di negeri ini, kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta HRD Corp boleh dilaksanakan dalam beberapa cara. 

“Antaranya, memperkenalkan lebih banyak kursus latihan yang relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan di negeri ini.

“Selain itu, membangunkan program latihan yang disesuaikan untuk pekerja separa mahir dan program ini boleh merangkumi latihan praktikal di tempat kerja.

“Kita juga boleh memperluaskan akses kepada latihan melalui platform pembelajaran dalam talian dan ini akan membolehkan lebih ramai rakyat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar untuk mendapat akses kepada peluang latihan yang berkualiti tanpa perlu meninggalkan kawasan mereka.

“Kerajaan negeri Sabah komited dalam usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat sesuai dengan objektif NTW dianjurkan. 

“Saya amat berbangga dengan inisiatif ini kerana setiap lapisan masyarakat dapat diberi peluang untuk menambah pengetahuan khususnya dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Sabah,” katanya ketika merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 peringkat negeri Sabah, pada Jumaat.  

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif.

Hajiji turut menjelaskan dengan adanya pengenalan terhadap program latihan yang komprehensif dan inklusif seperti yang ditawarkan di NTW, kita mampu melahirkan generasi pekerja yang bukan sahaja mahir tetapi juga berdaya saing di peringkat global.  

“Marilah kita bersama-sama menyokong NTW 2024 dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat sebagai tunjang utama dalam perjalanan kita menuju kejayaan,” ujarnya.

Sebanyak 450 program percuma ditawarkan di Sabah sempena NTW 2024 seperti sesi latihan, bengkel, dan seminar khusus untuk meningkatkan kemahiran serta pengetahuan rakyat Sabah.-PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN