SIMBOLIK… Wan Sarman memotong kek bersama jemputan khas sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri NOISH Labuan.
LABUAN: Institut Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan Negara (NOISH) Negeri Sabah dan Labuan akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan Borneo (BOSH) kali ke 8 yang dijadualkan akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu 20 dan 21 Jun depan.
Demikian diberitahu oleh Pengurus NOISH Sabah dan Labuan, Wan Sarman Sakan ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri NOISH Labuan di salah sebuah resturan di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, penganjuran BOSH kali ke 8 antara lain bertujuan untuk mempertingkatkan kefahaman semua pihak mengenai keperluan menyediakan tempat kerja yang baik dan selamat.
“Selain memberikan ilmu pengetahuan mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ia juga bertujuan untuk berkongsi pendapat dalam memastikan kemalangan yang membawa kecederaan mahupun kematian dapat dielakkan” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan daripada pengamal keselamatan dan kesihatan, majikan dan pekerja serta pakar-pakar dalam pelbagai disiplin bagi sama sama memperkasakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.