27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

NIAT KERAJAAN BERI PERMIT SEMENTARA KEPADA PATI PERLU PENJELASAN TERPERINCI: PEMUDA UPKO

Felix

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu membuat penjelasan dan pertimbangan terperinci sebelum tergesa-gesa membuat keputusan memberikan permit kerja sementara kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi menampung keperluan tenaga buruh dalam industri kelapa sawit dan getah di seluruh negara.

Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang bekata, ia bagi mengelakkan sebarang implikasi yang menyebabkan lambakan pendatang asing ke negara ini pada masa akan datang.

“Sebelum mengutarakan cadangan ini, kerajaan sekurang-kurangnya terlebih dahulu mempelawa warga tempatan untuk mengisi kekosongan yang ada dalam sektor berkenaan.

“Kerajaan sepatutnya membuat cadangan gaji yang berpatutan dan faedah yang setimpal untuk dinikmati pekerja tempatan sekiranya terlibat dalam sektor ini.

“Saya percaya ia akan menarik ramai belia atau penduduk tempatan bekerja dalam bidang ini terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan,” katanya.

Felix berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Warga Malaysia khususnya di Sabah menyatakan kebimbangan serius apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan cadangan itu pada Jumaat.

Susulan daripada ia menjadi bualan hangat dalam media sosial khususnya isu kebanjiran PATI di negeri ini yang masih belum menemui jalan penyelesaian sejak hampir dua dekad yang lalu.

Felix berkata, warga Sabah berhak menyuarakan kebimbangan kerana cadangan ini tidak menggambarkan penyelesaian terhadap PATI, tetapi boleh menyebabkan mereka tinggal lebih lama di negeri ini.

“Lagi satu kita tidak tahu sejauh mana ketelusan pelaksanaan pemberian permit kerja sementara ini nanti. Kita bukan mahu menuduh siapa-siapa, tetapi Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) sebelum ini telah membuktikan bahawa wujudnya projek IC di Sabah.

“Perkara ini yang kita tidak mahu berlaku lagi, dan saya cadangkan biarlah kekosongan itu dibuka kepada warga tempatan. Dan gaji yang ditawarkan haruslah setimpal.

“Saya pikir, jika ini dilaksanakan kita selesaikan selamatkan dua benda. Kita dapat elakkan penghalalan mereka yang masuk secara haram ke negeri ini, serta kita dapat memberi ruang pekerjaan kepada warga tempatan yang hilang punca pendapatan menyara keluarga,” ujarnya yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran.

Felix menyambut baik kenyataan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup agar Kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh tentang cadangan tersebut.

Untuk rekod, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 berjanji untuk menghantar balik PATI di Sabah sekiranya menang dan memerintah Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN