30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Naikkan Gred Pegawai Kebajikan: James

James (kanan) melekatkan pelekat pada katil yang digunakan seorang pesakit terlantar di Kampung Tuarid Taud pada Jumaat.

KENINGAU: Gred jawatan Pegawai Kebajkan Masyarakat Bahagian wajar dinaikkan daripada Gred S.41 kepada S.44, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.

Beliau mengambil contoh Pegawai Kebajikan Bahagian khususnya Bahagian Keningau yang menjaga enam Pejabat Kebajikan Masyarakat di bawahnya iaitu Keningau, Tambunan, Nabawan, Sook, Tenom dan Kemabong, justeru wajar dinaikkan kepada S.44.

Sehubungan dengan itu James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah meminta agar perjawatan ini dapat dikaji.

“Apabila jawatan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian kita juga minta supaya Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah dinaikkan daripada Gred 32 kepada Gred S41” katanya kepada media dalam siri lawatan kerjanya di kawasan Pedalaman Atas bermula pada Jumaat.

Dalam siri lawatan ini, James telah melawat Klinik Kesihatan Nabawan, Klinik Kesihatan Mansiat yang sedang dalam pembinaan dan akan melawat Hospital Daerah Tenom, Hospital Daerah Tambunan dan Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Keningau.

Terdahulu beliau telah mendengar taklimat daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Pedalaman Atas kemudian menyampaikan bantuan katil dan kerusi roda kepada seorang pesakit terlantar di Kampung Tuarid Taud.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan perkembangan dan pentadbiran Pejabat Kebajikan setiap daerah dibawah naungan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Pedalaman Atas.

Walau bagaimanapun katanya, masih ada beberapa masalah kecil yang perlu diatasi.

Ini katanya, kerana bilangan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan di kawasan Pedalaman Atas ini begitu ramai iaitu mencecah 8,294 orang dengan bantuan nilai lebih RM4 juta.

“Bilangan penerima yang sebegini ramai memerlukan kecekapan pengurusan” katanya.

Dalam masa yang sama James meminta Pegawai-Pegawai Kebajikan Masyarakat di setiap daerah sentiasa mengemaskini senarai penerima bantuan.

Ini katanya, penting agar tiada rakyat yang layak menerima bantuan tercicir daripada menerima bantuan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN