Tinggalkan Upko….Lucas (dua dari kiri)menyerahkan borang keahlian Star Sabah kepada Jeffrey.
KENINGAU:Hari ini Upko yang dipimpin oleh Presidennya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menerima tamparan hebat apabila Naib Presidennya Datuk Dr. Lucas Umbul meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Star Sabah pimpinan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan.
Lucas yang merupakan bekas Ahli Dewan Negara bersama lebih kurang 2,000 penyokong menyerahkan borang keahlian Star Sabah kepada Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam satu majlis di rumah kediaman Presiden di sini hari ini.
Menurut Lucas, beliau bersama penyokongnya mengambil keputusan menyertai Star Sabah kerana yakin dengan kepimpinan dan perjuangan Presidennya yang fokus memperjuang nasib orang asal di negeri ini.
Katanya, penyertaan mereka dalam Star Sabah bukan didorong oleh siapa-siapa tetapi dengan kerelaan hati dan ingin bersama-sama berjuang untuk kepentingan rakyat khususnya di kawasan Tenom.
“Saya kenal Jeffrey dan memahami perjuangannya sejak dari awal dan saya pernah juga berjuang bersama dengan beliau pada suatu ketika dahulu” katanya semasa berucap mengisytiharkan kemasukannya dalam Star Sabah pada majlis itu.