Aaron yang diiringi Muhamad Shawali (kanan sekali) bersalaman salah seorang kakitangan Muzium Labuan pada Program Semarak@Muzium Labuan 2024
LABUAN: Bermula April depan Muzium Negara akan melaksanakan Sistem Terimaan Hasil Secara Elektronik (Cashless) sejajar dengan hasrat kerajaan menggalakkan transaksi tanpa sentuhan sekaligus merancakkan perbelanjaan digital.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Muzium Negara akan menjadi projek rintis tanpa tunai sebelum diperluaskan di 10 muzium lain menerusi kaedah Cashless pembayaran melalui kad kredit, debit dan transaksi perbankan internet.
“Bermula 1 April ini, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan melaksanakan Sistem Terimaan Hasil Secara Elektronik (Cashless) yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 29 Febuari yang baru lalu” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Semarak @ Muzium Labuan di sini, baru baru ini.
Selain itu, kaedah pembayaran tanpa tunai diyakini lebih efisien memandangkan pengguna boleh membuat pembayaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.
Sementara itu katanya, JMM akan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Malaysia (JWM) untuk menambah baik Muzium Labuan supaya boleh diangkat dan diiktiraf sebagai bangunan atau tapak warisan kebangsaan.
“Adalah menjadi hasrat JMM, segala kekurangan kita cuba bantu untuk dapatkan pengiktirafan Muzium Labuan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, tetapi kita juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (Perbadanan Labuan).
“Sebab projek-projek ini ini akan memberi manfaat kepada Labuan yang dapat menyumbang dan memperhebatkan lagi Muzium kita” katanya.
Pada majlis itu, beliau juga turut menyampaikan sijil penghargaan Sumbangan Bakti Muzium Labuan kepada 12 penerima serta pengamal media yang telah banyak menyumbang bakti terhadap Muzium Labuan disamping membantu mempromosikan Muzim Labuan kepada dunia luar..
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Negara, Muhamad Shawali Badi dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jafar Sidek Abdul Rahman.