POUINSIKOU…Salah seorang warga emas menerima sumbangan peribadi daripada Sapilin.
RANAU: Seorang sukarelawan menggunakan dana sendiri bagi menghulurkan sumbangan berupa keperluan barangan makanan kepada golongan warga emas, di daerah ini, amat dihargai dan disanjung tinggi.
Sukarelawan itu, Sapilin Bin Mudin 55, dari Kg.Lukapon Kilimu Ranau, menggunakan dana sendiri dan menyampaikan sendiri sumbangan kepada lebih 20 orang warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pesakit telantar di Kg.Lohan, Kg.Sinarut, Kg.Perancangan dan Kg.Naradau bagi meringankan beban kepada para penerima terutama mereka yang cukup terkesan dengan pandemik Covid-19.
Sapilin ketika ditemui memberitahu, yang sumbangannya itu adalah ikhlas darinya untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Saya ikhlas menghulurkan sumbangan itu kepada mereka yang cukup terkesan dengan keadaan sekarang terutama warga emas dan pesakit telantar”, jelas Sapilin ketika ditemui selepas beliau menyampaikan sumbangan kepada beberapa orang warga emas di Kg.Naradau baru-baru ini.
Ramai keluarga penerima yang sempat ditemui, masing-masing berterima kasih atas sumbangan peribadi Sapilin sambil mengharap usaha, inisiatif dan pengorbanan seperti itu dapat dicontohi oleh NGO yang lain.