25 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 13, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

MSS Zon Utara Ke-51 Gegar Ranau, Atlet Muda Pamer Aksi Cemerlang

JUARA……..Pasukan SK. Lohan muncul juara pada Kejohanan MSS Zon Utara di Kompleks Sukan Ranau.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Utara Kali Ke-51 berlangsung meriah selama dua hari di Kompleks Sukan Ranau pada 11 dan 12 Februari lepas, menghimpunkan atlet muda sekolah rendah dalam semangat kesukanan bertemakan “Satu Tekad, Satu Matlamat.”

Kejohanan tahunan itu terus menjadi platform penting dalam mencungkil serta menggilap bakat sukan di peringkat akar umbi, selain membentuk disiplin, daya saing sihat dan semangat berpasukan dalam kalangan murid sekolah di Zon Utara daerah Ranau.


Sebanyak sembilan sekolah mengambil bahagian iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lohan, SK Bongkud, SK Perancangan, SK Narawang, SK Poring, SK Sagiban, SK Napong, SK Langsat dan SK Kirokot.


Sepanjang kejohanan, para atlet mempamerkan aksi bertenaga dalam pelbagai acara balapan dan padang, sekali gus menyemarakkan suasana pertandingan dengan sorakan padu guru, ibu bapa serta warga sekolah yang hadir memberi sokongan.

SYABAS……..Adik Cherrysenn (dua kanan) dan adik Jydean dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada temasya sukan tersebut.


Dalam keputusan keseluruhan, SK Lohan muncul juara dengan kutipan 16 pingat, diikuti SK Bongkud di tempat kedua dengan enam pingat, manakala SK Perancangan menduduki tempat ketiga.


SK Sagiban pula menjuarai pertandingan perbarisan pembukaan, manakala anugerah Maskot Terbaik menjadi milik SK Lohan.


Bagi anugerah individu, gelaran Olahragawan disandang oleh Jydean Yohanes Edward dari SK Lohan, sementara Olahragawati dimenangi Cherrysenn Olsen dari SK Bongkud selepas masing-masing menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Vincent Sabin, yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohammad Kahar.


Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran kejohanan itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, malah membina sahsiah murid melalui penerapan nilai disiplin, kepimpinan, kerjasama dan semangat daya saing sihat.


Beliau turut menegaskan bahawa kejohanan tersebut berperanan memupuk perpaduan serta setiakawan merentasi sekolah dan komuniti, selaras dengan hasrat melahirkan murid seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Sementara itu, Guru Besar SK Kirokot merangkap Pengerusi Pengelola, Jeffery Siga, merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dan kerjasama menjayakan kejohanan itu serta berharap penganjurannya dapat diteruskan pada masa akan datang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN