James ketika berucap sempena Sambutan Hari Wnaita Peringkat Negeri Sabah tahun 2024 yang diadakan di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort pada hari Jumaat.
KOTA KINABALU: Kerajaan akan pastikan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) berperanan sebagai badan pemikir, penasihat dan think thank dalam usaha kerajaan ke arah memajukan dan memperkasa wanita di Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Bin Ratib berkata, justeru, kementerian akan mengkaji semula peranan dan fungsi MPWS supaya selari dengan visi dan misi Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
“Antaranya senarai program yang dianjurkan melalui JHEWA dan MPWS dalam membangunkan wanita meliputi Program Outreach Santuni Wanita yang merupakan flagship projek berimpak tinggi yang dijalankan secara kolaborasi bersama rakan strategik di peringkat daerah terlibat.
“Program ini adalah sangat signifikan dalam usaha memartabatkan golongan wanita agar lebih cakna berkaitan hal-hal perundangan, isu-isu semasa dan memastikan keterlibatan wanita dalam arus pembangunan wanita negeri di Sabah khususnya dan Malaysia ammnya.
Pada masa yang sama juga, di bawah JHEWA turut dilaksanakan beberapa Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak (MIPA) dan Program Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang mempunyai tujuan sama iaitu membendung penganiayaan terhadap wanita tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak,” katanya.
Tambah James, tumpuan turut diberikan kepada golongan-golongan ibu tunggal yang ada di Sabah.
“Mengambil kira beberapa inisiatif Kementerian saya dibawah JHEWA, melalui Program Pembangunan Ibu Tunggal serta kursus kemahiran yang memfokuskan peserta daripada golongan ibu tunggal dan wanita berkahwin yang berpendapatan rendah dalam kategori B40.
“Tidak dilupakan juga kepada usahawan-usahawan wanita, melalui program keusahawanan dapat memberi peluang dan ruang kepada para usahawan untuk mengetengahkan produk hasil keluaran mereka kepada lebih ramai pembeli.
“Serta diberikan bantuan packaging dan labelling bagi produk yang berpotensi besar untuk dipasarkan. Pada masa sama, turut memperkasakan wanita melalui program Gender untuk menyampaikan kepentingan gender dalam pembangunan di Sabah serta memberikan ceramah kepada komuniti luar bandar,” katanya.
Selain itu, ujar James, melalui MPWS yang telah mendapat kelulusan peruntukkan khas daripada YAB Ketua Menteri bagi projek Akademi Kepimpinan Wanita (AKWan) dan Creating Millionaires Among Young Women Entrepreneurs Kumpulan 2 (Cream@Ywe) demi memanfaatkan ramai kaum Wanita yang disasarkan.

“Saya percaya bahawa agenda memperkasa wanita merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan hanya dipikul oleh Kementerian atau Jabatan tertentu sahaja.
“Melalui JHEWA saya mengambil maklum bahawa persatuan seramai 180 NGOs Wanita telah berdaftar di bawah JHEWA dan saya difahamkan mereka ini merupakan agen penggerak dalam memartabatkan wanita melalui pelaksanaan program dan aktiviti.
“Saya selaku Menteri yang bertanggungjawab memohon kepada YAB Ketua Menteri untuk menambah peruntukan geran aktiviti NGOs Wanita yang sedia ada agar kita dapat membantu NGOs Wanita untuk sama-sama dengan Kementerian dan Jabatan dalam memastikan objektif memperkasa wanita Sabah tercapai,” katanya.
James yang juga Adun Sugut berkata denikian sempena Sambutan Hari Wnaita Peringkat Negeri Sabah tahun 2024 yang diadakan di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort pada hari Jumaat.
Majlis tersebut dirasmikan oleh YB Datuk Ir. Haji Shahelmey Yahya, Menteri Kerja Raya Sabah, mewakili YAB Ketua Menteri.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Puan Hajah Haslina Ismail, Pengarah JHEWA dan seluruh warga kerja jabatan atas penganjuran program pada malam ini.
“Tidak dilupakan juga kepada YBhg.Datuk Dr. Hajah Tarsiah TZ Taman, Pengerusi Induk MPWS, Ahli-Ahli induk MPWS serta ahli jawatankuasa pelaksana yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas penganjuran sambutan yang bermakna ini,” katanya.
Tambah James lagi, sambutan yang diraikan saban tahun bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada penglibatan, penyertaan serta pencapaian wanita Sabah dalam pelbagai bidang yang diceburi.
“Pembangunan wanita Negeri Sabah menjadi lebih rancak, aktif dan matang secara perlahan-lahan dengan adanya gandingan padu oleh JHEWA dan MPWS bersama-sama dengan agensi-agensi rakan strategik lain termasuklah kementerian, jabatan, badan bukan kerajaan wanita (NGOS) serta agensi lain terlibat bagi program dan aktiviti yang dilaksanakan,” katanya.
Menurut James lagi, tema Hari Wanita 2024 kali ini iaitu “Wanita Dijulang Negara Gemilang” menjelaskan bahawa wanita dilihat hebat dan cekal serta memiliki banyak potensi.
“Wanita adalah aspirasi negara dalam memacu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
“Sumbangan wanita kepada kecemerlangan negara seiring dengan konsep Malaysia Madani memperlihatkan wanita sebagai entiti peradaban yang penting dalam negara.
“Hari ini adalah hari kita membulatkan tekad dan komitmen untuk merapatkan jurang gender, berusaha memahami antara satu dengan yang lain dan membina masyarakat yang lebih adil dan inklusif. Kita harus berterima kasih kepada semua wanita yang telah dan sedang mencorakkan dunia yang lebih ceria,” jelasnya.
James menjelaskan bahawa Kementeriannya menetapkan masyarakat prihatin dan bertanggungjawab sebagai teras utama perkhidmatan dalam memenuhi tanggungjawab pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat yang mampan.
Justeru, katanya, memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita dilihat sebagai daya penggerak kepada pembangunan modal insan termasuk aspek ekonomi negara.
“Kementerian saya melalui JHEWA di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya, telah merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan komuniti wanita di Sabah.
“Manakala, MPWS merupakan Badan Pemikir yang akan terus menyumbang idea dan kepakaran dalam program-program kesejahteraan rakyat yang merangkumi pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial, undang-undang, pendidikan, kesihatan, gender, wanita dan media.
“Kementerian juga sedang merancang beberapa strategi untuk membantu usahawan wanita Sabah yang dilihat sangat aktif dalam merancakkan ekonomi negeri sekali gus mengurangkan isu miskin tegar dan golongan miskin luar bandar.
“Oleh itu, pihak Kementerian memohon satu dana khas diperuntukkan kepada usahawan wanita Sabah agar mereka lebih bersemangat dan peruntukan ini mampu memberi impak besar selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk memperkasakan modal insan di Sabah.
“Dalam hal ini, saya ingin memberikan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kita, yang sentiasa menyokong kepada projek-projek bagi membangunkan modal insan khususnya golongan wanita di negeri Sabah ini.
“Justeru, besarlah harapan saya agar perspektif wanita sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar dan perancangan program bagi memastikan wanita mendapat ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negara,” jelas beliau.
Dalam majlis itu, Anugerah Wanita Cemerlang dianugerahkan kepada Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Binti Mohammed.
Turut diberikan, Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang kepada Pupspanita Cawangan Sabah, Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang kepada Erliana Binti Said, Anugerah Kepimpinan Wanita Luar Bandar kepada Hajah Jaliha@zaliha Haji Mating dan Anugerah Khas Individu Lelaki kepada Datuk Asnan Yunus Chung.