BINCANG….. Mohd Dzulfaizal (kiri) berbincang bersama Dr Fary sambil diperhatikan Haji Hadnan sempena Kunjungan Hormat tersebut
Labuan: Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan (MPPWPL) bagi sesi 2020-2021 mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman di pejabatnya di Tingkat 4, Wisma Perbadanan Labuan, pada Sabtu.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusi MPPWPL, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.
Turut sama ialah Timbalan Pengerusi, Haji Hadnan Mohammad, Setiausahanya, Willy Wei Chung dan Pengerusi-Pengerusi MPP Sub Zon yang terdiri daripada Abdul Rahim Mohd Salleh (MPP Subzon 1), Chew Chin Hui (MPP Subzon 2), Haji Omar Misir (MPP subzon 3), Ahmad Junid @Ahmad Junit Mohd Aling (MPP subzon 4) dan Fadillah Eddy Abdul Khalid (MPP subzon 5).
KENANGAN….. Mohd Dzulfaizal (empat dari kiri) bersama barisan tertinggi kepimpinan MPPWPL bergambar kenangan bersama Dr. Fary (enam dari kanan). Turut kelihatan Ibrahim ( kanan sekali dan Fadhilah (kiri sekali)
Kunjungan Hormat yang julung kalinya itu bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi MPPWPL disamping menjelaskan hala tuju organsasi itu dalam membantu membangunkan Labuan sebagai sebuah pulau yang maju dan berdaya saing.
Mohd Dzulfaizal berkata, MPP Labuan akan terus komited membantu Perbadanan Labuan menjayakan agenda pembangunan Labuan khususnya dalam mentransfomasikan sektor pelancongan dan juga mewujudkan lebih ramai usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS).
“MPPWPL dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan terus komited untuk menyokong usaha Perbadanan Labuan (PL) dalam membangunkan Labuan terutamanya dalam sektor yang mampu menjana ekonomi Labuan dan penduduk tempatan” katanya ketika ditemui selepas kunjungan tersebut.
Dalam program yang berasingan. MPPWPL dan juga MPKK telah menghadiri majlis taklimat mengenai usaha-usaha Perbadanan Labuan dalam merancang Pembangunan strategik Labuan 2.0 yang diadakan sejurus berakhirnya sesi kunjungan hormat MPPWPL.
Hadir sama dalam sesi taklimat itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Fadhilah Mahmud.