ADVERTISEMENTspot_img

MPMS tingkatkan impak perkhidmatan kebajikan masyarakat: James

KENANGAN… Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan, diiringi Datuk James Ratib dan isteri serta dif -dif jemputan merakam gambar kenangan bersama artis-artis Suara Dari Hati pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Seramai 14 individu dan wakil pertubuhan menerima penghargaan atas sumbangan dan perkhidmatan mereka sempena Majlis Malam Penghargaan 2023 dan Muzikal Dari Hati #4, anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) yang diadakan di sini pada malam hari Jumaat.
 
Acara yang turut dihadiri bersama oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Dalam ucapannya, James memuji pernganjuran majlis itu yang diadakan khusus untuk meraikan sumbangan dan perkhidmatan semua ahli jawatankuasa Program Bulan Kebajikan 2023 serta individu dan pertubuhan yang telah memberi perkhidmatan cemerlang dan sumbangan ikhlas untuk kebajikan masyarakat.

“Majlis ini merupakan acara tahunan anjuran MPMS namun acara ini tidak diadakan pada tahun 2000, 2021 dan 2022 kerana negara telah berhadapan dengan ujian Pandemik COVID-19.

“Alhamdullilah, pada tahun ini kita diberi kesempatan untuk meneruskan semula acara yang penuh berharga ini bersama wajah-wajah hebat yang tetap teguh menyumbang bakti di lapangan sukarela kebajikan.

“Saya berasa syukur dan gembira melihat semua Badan Bukan Kerajaan (NGO) terutamanya Pertubuhan-Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang sentiasa bersama Kementerian saya, mengatur dan merencanakan program-program kebajikan dan kemasyarakatan di negeri ini,” katanya.

Menurut James, tema Bulan Kebajikan tahun 2023 adalah “Kebersamaan Teras Malaysia MADANI” amat bertepatan dengan usaha kementerian beliau untuk menggalakkan kerjasama dan penglibatan masyarakat bersama membina sebuah masyarakat yang prihatin.

Usaha ini, katanya, adalah selaras dengan konsep MADANI yang telah dirangka sebagai ikhtiar Kerajaan untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan.

“Kebersamaan semua lapisan masyarakat dalam usaha ini amat diharapkan agar tiada yang ketinggalan, agar dapat membina masyarakat inklusif, agar dapat meningkatkan impak dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Berkaitan majlis itu, James yang juga Adun Sugut mewakili pihak Kerajaan Negeri Sabah dan seluruh rakyat negeri ini menjunjung kasih atas perkenan Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan yang telah perkenan untuk menyampaikan Anugerah Sukarela Kebajikan dan Sumbangan Ikhlas Tahun 2023 kepada individu, badan korporat dan pertubuhan kebajikan yang telah banyak menyumbang bakti dan kewangan demi kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua penerima anugerah; Tokoh-Tokoh Sukarelawan Kebajikan, Sukarelawan Muda, Sumbangan Ikhlas dan penerima-penerima Sijil Penghargaan 2023.

“Semoga usaha ini menjadi  inspirasi kepada lebih ramai individu dan badan korporat di luar sana untuk bersama-sama membantu golongan rentan yang memerlukan dan seterusnya dapat menyahut seruan Kerajaan untuk lebih peka terhadap keperluan komuniti setempat dan memupuk masyarakat yang harmonis dan penyayang,” ujar James.

majlis tersebut diserikan dengan persembahan-persembahan pelbagai umur dan bakat dari kumpulan persembahan Muzikal Suara Dari Hati di bawah pimpinan Puan Jacqueline Lingham.

Suara Dari Hati bertujuan mengetengahkan penyertaan Orang Kurang Upaya dalam dunia seni tari dan muzik dan memberi inspirasi untuk menyokong dan memajukan persada seni tempatan dengan memupuk seni dan kepelbagaian dalam masyarakat.

 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN