27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

MPMS Perkasa Ekosistem Sokongan, Gesa Kerjasama Holistik Bantu Komuniti OKU Sabah: Dr. Fatimah Sabrina

KENANGAN..Datuk Maria Chong (duduk tengah) bergambar bersama ketua jabatan, ahli panel dan para peserta


KOTA KINABALU: Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) hari ini menganjurkan Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial bertemakan “Mengeratkan Usaha, Memperkukuhkan Komuniti” di Hilton Kota Kinabalu, menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, NGO, institusi pemulihan dan rakan industri sosial bagi mengukuhkan rangkaian perkhidmatan sosial di negeri ini.

Forum berkenaan memberi fokus kepada pengukuhan kolaborasi antara sektor melalui pengurusan sukarelawan yang lebih sistematik, perkongsian amalan terbaik serta penerokaan penyelesaian inovatif terhadap isu sosial yang semakin mencabar. Perbincangan yang berlangsung turut membuka ruang kepada peserta meneroka pendekatan baharu bagi membentuk ekosistem sosial yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Antara segmen tumpuan ialah sesi bertajuk “Memperkukuh Kerjasama bagi Pembangunan Kemahiran dan Pekerjaan untuk Orang Kurang Upaya (OKU)”, dikendalikan oleh tokoh advokasi OKU, Dr. Fatimah Sabrina Moahmmad, yang juga seorang OKU fizikal dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Panel sesi berkenaan terdiri daripada PERKESO, Kompleks Pemulihan OKU Kimanis dan Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Sabah, dengan perbincangan menekankan keperluan menghubungkan latihan pemulihan kepada peluang pekerjaan sebenar bagi OKU di Sabah.

Dr. Sabrina turut berkongsi bahawa UMS menerima kemasukan mahasiswa berstatus OKU dan melaksanakan dasar pengambilan pekerja OKU sekurang-kurangnya satu peratus, sejajar usaha memperkukuh akses pendidikan dan kerjaya secara inklusif.


Dari kiri….. Dr.Hajah Fatimah Sabrina (moderator) bersama ahli panel

Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada anjakan paradigma yang lebih berani dalam menangani cabaran komuniti OKU.

“Sebagai seorang OKU fizikal, saya melihat sendiri jurang yang wujud antara latihan, sokongan dan peluang pekerjaan. Sabah memerlukan ekosistem inklusif yang tidak lagi bergerak secara silo.

“OKU bukan liabiliti, kami adalah aset strategik dengan potensi dan nilai tersendiri. Kerjasama holistik rentas agensi adalah tanggungjawab moral serta nasional,” katanya.

Forum berkenaan mengukuhkan komitmen MPMS untuk memantapkan sinergi sosial dan memastikan golongan rentan menerima sokongan yang adil dan menyeluruh. Kerjasama yang lebih mantap diyakini mampu memperkukuh pembangunan komuniti inklusif dan progresif demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Majlis perasmian forum yang dihadiri kira-kira 120 peserta telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong.

Turut hadir ialah Pengarah Perkhidmatan Kebajikan Sabah, Jais Asri, Setiausaha Eksekutif MPMS Joeanne Lee, Ketua Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF Dr. Latif Lai dan Pakar Program UNICEF Sabah Dr. Elaine Kong

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN